Golongan kacau daun rosak perpaduan tiga parti Melayu terbesar – Hadi

0
2
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang

MELAYU dan Islam itu bukan sahaja melibatkan Umno dan PAS, tanpa Bersatu, kata Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Ahli Parlimen Marang itu berkata perpaduan itu tidak lengkap dan tidak akan mencapai tujuan tanpa kebersamaan tiga parti Melayu terbesar termasuklah Bersatu bagi mencapai hikmahnya.

Oleh itu, tegasnya keanggotaan Muafakat Nasional (MN) tidak terhad kepada Umno dan PAS ataupun Bersatu sahaja.

Malah katanya perpaduan umat pula bukan merangkumi kelompok Melayu dan Islam sahaja, tetapi mestilah meliputi seluruh masyarakat majmuk termasuk golongan bukan Islam dan bukan Melayu. 

“Kita menyaksikan selepas kejayaan mengambil alih Putrajaya, betapa peranan dipergunakan oleh pihak tertentu yang gilakan kuasa untuk menggagalkan perpaduan umat.

“Pada masa sama, golongan tersebut berusaha untuk memecahbelahkannya dengan provokasi dicipta atau diolah mengikut perancangannya yang jahat terhadap umat.

“Perkara itu dilakukan semata-mata demi memenuhi kehendak dan kepentingan peribadi. Antara tindakan dilakukan ialah mengadu domba pada titik perbezaan yang wujud, walaupun ia tidak penting dan meninggalkan perkara yang lebih penting,” katanya menerusi tulisan Minda Presiden PAS yang dimuatnaik di Facebooknya.

Selain itu, Abdul Hadi berkata persetujuan telah dibuat untuk menghimpunkan ketiga-tiga parti terbesar Melayu iaitu Umno, PAS dan Bersatu.

Menurutnya penyertaan Bersatu ke dalam MN adalah untuk melayari perubahan dalam negara secara bersama, tetapi malangnya ia tidak ditepati dan tidak ditunaikan.

“Sedangkan Allah SWT melabelkan nama fasiq kepada seseorang Muslim yang terlibat bersama dan berperanan dalam media untuk melakukan provokasi. Golongan tersebut dikenakan hukuman tidak sah memegang apa-apa jawatan penting dan tidak sah menjadi saksi dalam semua urusan penting.

“Golongan yang membuat kacau daun itu tidaklah besar jumlahnya, tetapi suaranya kuat sehingga boleh memekakkan telinga dan mengaburkan mata sebahagian daripada umat yang mahukan perpaduan dilaksanakan dengan berjaya.

“Mereka mendapat dukungan musuh daripada dalam dan luar yang sentiasa menolak kebaikan dan menarik keburukan terhadap kita semua.

“Justeru, kenalilah siapakah perosak perpaduan umat dan janganlah sekali-kali terpengaruh dengannya. Seterusnya, singkirkan makhluk perosak perpaduan umat yang ada dalam masyarakat kita kerana perkara itu sangat penting,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here