PRN Sarawak: BN kotakan janji tidak letak calon, namun PN…

0
2

BARISAN Nasional (BN) mengotakan janjinya untuk tidak meletakkan calonnya bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, 18 Disember ini.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata tiada mana-mana parti kompenen BN meletakkan calonnya bertanding pada PRN Sarawak kerana melunaskan janjinya yang menghormati Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“BN kekal laksana janjinya pada GPS, tidak meletakkan calon. BN hormati GPS,” katanya di Facebook, hari ini.

Ahli Parlimen Lenggong itu turut menyindir Perikatan Nasional (PN) yang ‘cakap tak serupa bikin’ susulan terdapat seorang calon PAS dan empat ahli Bersatu bertanding meskipun sebelum ini memutuskan tidak akan meletakkan sebarang calon pada PRN Sarawak kali ini.

“Namun…. Bersatu bertanding? Tapi atas tiket Bebas. Biarpun Pengerusi PN (Tan Sri Muhyiddin Yassin) kata tidak akan bertanding di PRN Sarawak.

“Nampakkan parti mana lebih ikhlas dan jujur? Rakyat Sarawak pasti boleh menilainya. Oh. PAS pun bertanding juga kan? Ingat masa PRN Sabah dulu,” katanya.

Sebelum ini, Muhyiddin membuat pengumuman rasmi bahawa PN tidak akan bertanding PRN Sarawak dan akan membantu memastikan kemenangan GPS.

Bagaimanapun, sebaik sahaja selesai hari penamaan calon Isnin lalu, terdapat empat ahli Bersatu yang diketuai Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian.

Manakala, Siki Balarik bertanding di DUN Belaga, Ismawi Muhammad di DUN Muara Tuang dan Ricky Enteri di DUN Bawang Assan.

Sementara, PAS meletakkan Mohammad Arifiriazul Paijo bertanding di DUN Beting Maro. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here