Kerani, guru rugi lebih RM200,000 ditipu ‘KKM’, ‘ejen insurans’

0
1
grafik

SEORANG guru dan suri rumah menjadi mangsa terbaharu penipuan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai ejen insurans dan kakitangan kesihatan dalam dua kes berasingan di Melaka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan E Sundra Rajan, berkata kedua-dua mangsa iaitu guru berusia 50 dan suri rumah 55 tahun itu, tampil membuat laporan polis semalam dan Isnin lalu berhubung kejadian terbabit.

Menurutnya, dalam kes pertama, guru wanita itu menerima panggilan daripada suspek pada 10 Oktober lalu, kononnya daripada ejen insurans mengatakan mangsa telah membuat tuntutan insurans sebanyak empat kali berjumlah RM76,800.

“Mangsa yang menafikan perkara tersebut melalui panggilan telefon bagaimanapun telah disambungkan ke Balai Polis Pudu dan bercakap dengan Sarjan Mejar (SM) Azman.

“SM Azman kemudian menyatakan mangsa terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram berkait dengan suspek lelaki bernilai RM2.8 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, mangsa selepas itu diminta bercakap dengan dua lagi individu kononnya pegawai polis yang boleh membantunya menyelesaikan masalah terbabit.

Menurut Sundra, Kedua-dua mereka memberitahu mangsa akan didakwa di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Sabah sebelum meminta mangsa membuat bayaran jaminan sebanyak RM568,000.

“Mangsa yang tidak mempunyai wang kemudian telah membuat pinjaman di Bank Islam sebanyak RM300,000 dan Bank Simpanan Nasional (BSN) berjumlah RM80,888.

“Kemudian pada 12 November, suspek mengarahkan mangsa menukarkan nombor telefon kad Bank Islam kepada nombor telefon lain yang diberikan suspek.

“Suspek juga mengarahkan mangsa memindahkan semua wang di dalam BSN ke akaun Bank Islam miliknya yang dipatuhi mangsa tanpa sebarang rasa curiga,” katanya.

Selepas itu, katanya, mangsa juga telah diarahkan membuat pinjaman dengan syarikat kredit lain namun mangsa tidak berbuat demikian kerana mula berasa ditipu.

“Guru terbabit kemudian menyemak simpanan di dalam akaun Bank Islam dan mendapati berlaku pengeluaran berjumlah RM199,111.61.

“Mangsa yang berasa terpedaya kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Tiang Dua semalam,” katanya.

Sementara itu, Sundra berkata, dalam kes kedua, suri rumah kerugian RM9,850 dipercayai ditipu sindiket sama.

Menurutnya, mangsa berusia 55 tahun turut mendapat panggilan dari suspek kononnya dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendakwa kad pengenalan mangsa telah disalahgunakan untuk mengambil ubat-ubatan di Klinik 1Malaysia di Ipoh, Perak.

“Suspek menawarkan diri untuk membantu mangsa menyelesaikan kes terbabit dengan memasukkan sejumlah wang ke satu akaun untuk tujuan siasatan

“Mangsa yang ketakutan menuruti semua kata-kata suspek dan membuat tiga kali transaksi bayaran sebelum mengadukan hal tersebut kepada anaknya yang memberitahu dia telah ditipu,” katanya.

Beliau berkata, mangsa membuat laporan polis Isnin lalu di Balai Polis Batu Berendam.

Katanya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu Sundra meminta meminta orang ramai supaya menyemak nombor telefon dan akaun bank melalui laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ sebelum membuat sebarang urusan untuk mengelak daripada menjadi mangsa penipuan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here