MP Pasir Gudang salah fakta – Mohd Saiful

0
2

AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim diminta menyemak fakta berhubung kenyataannya yang menganggap Mahkamah Rayuan tidak bertindak adil berhubung penangguhan hukuman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kenyataan Hassan membandingkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dibenarkan menangguh hukuman bagi kes liwat dihadapinya pada 2014 sementara rayuan di Mahkamah Persekutuan dibuat adalah salah.

Bekas pembantu peribadi kepada Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, berkata Ketua Pembangkang itu mendapat penangguhan daripada Mahkamah Rayuan daripada hukuman yang disabitkan pada 2014.

“Kepada Ahli Parlimen Pasir Gudang, yang saya dimaklumkan beliau juga seorang peguam, sila semak fakta ini. Saya bukan seorang peguam, tapi setiap detik dan fakta kes saya, insyaAllah saya masih ingat.

“Anwar peroleh penangguhan hukuman oleh Mahkamah Rayuan, sama seperti Najib, dan hanya mula menjalani hukuman penjara setelah Mahkamah Persekutuan pada 2015 mengesahkan keputusan dan sabitan Mahkamah Rayuan 2014.

“Walau kecewa hukuman ditangguh, namun saya hormati keputusan mahkamah pada ketika itu,” katanya.

Mohd Saiful turut mendoakan semoga Najib mendapat ruang keadilan sewajarnya di Mahkamah Persekutuan dan tabah menghadapi keputusan hari ini.

Pada 28 Jun 2008, Mohd Saiful membuat laporan polis mendakwa diliwat oleh Anwar di sebuah kondominium di ibu negara.

Perbicaraan kes liwat Anwar dimulakan pada 3 Februari 2010 dengan Saiful memberi keterangan sebagai saksi pertama. Perbicaraan itu, di hadapan Hakim Mohamad Zabidin, bermula selepas 18 bulan Anwar dituduh pada Ogos 2008.

Pada 7 Mac 2014, Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan selepas mahkamah mendapatinya bersalah meliwat Mohd Saiful.

Hakim Datuk Balia Yusof Wahi yang mengetuai panel tiga hakim mendengar rayuan pendakwa dalam kes itu, bagaimanapun membenarkan penangguhan hukuman, sementara menunggu keputusan rayuan dengan ikat jamin RM10,000

Pada Februari 2015, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan hukuman ke atas Anwar dan menjatuhi hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan meliwat Saiful Bukhari.

Anwar bagaimanapun menerima pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei 2018. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here