TUN Dr Mahathir Mohamad menyindir Datuk Seri Najib Razak dengan menyatakan Ahli Parlimen Pekan itu kemungkinan boleh menjadi Perdana Menteri sekali lagi.
Ini di sebalik Najib telah disahkan bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International oleh Mahkamah Rayuan hari ini.
Dr Mahathir berkata walaupun menjadi hak hakim membenarkan hukuman serta denda ke atas Najib ditangguhkan, belum pernah ada kes jenayah sebesar dilakukan Najib.
“Ia adalah satu rekod dunia, mengikut Department of Justice (DOJ), Amerika Syarikat, orang yang didapati bersalah kecil pun tidak pernah mendapat ‘stay of execution’ seperti ini.
“Najib mungkin terpaksa tunggu sampai setahun atau lebih sebelum kesnya sampai ke Mahkamah Persekutuan.
“Di masa itu dia bebas seperti orang yang tidak bersalah. Kalau semasa menanti dibenar terus jadi ahli Dewan Rakyat, apakah dia juga dapat bertanding dalam PRU15.
“Jika menang dan sekali lagi jadi ahli Dewan Rakyat, apakah dia boleh jadi Perdana Menteri juga,” katanya.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata undang-undang tidak berkata seseorang itu tidak boleh menjadi Perdana Menteri walaupun berdepan kes jenayah.
“Jika undang-undang tidak berkata tidak boleh, maka mengikut undang-undang tentulah ia boleh.
“Alhamdulillah. Malaysia mungkin buat rekod sekali lagi kerana banduan dianugerah jawatan Perdana Menteri. Segala-gala the Rule of Law dihormati,” sindirnya.
Mengenai kenyataan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi bahawa beliau hanya tahu menyebut perkataan kleptokrasi, Dr Mahathir menafikannya.
“Tidak benar. Saya guna banyak perkataan lain. Saya juga guna perkataan penyangak, pencuri, kawaq, perasuah,” katanya.
Terdahulu hukuman terhadap Najib ditangguhkan sementara bagi menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Permohonan penangguhan itu dibuat oleh peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera membenarkan penangguhan itu selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat.
Panel tiga hakim berkenaan sebelum itu sebulat suara mengekalkan sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta selepas menolak rayuan bekas Najib. – Malaysiapost
