AHLI Parlimen PKR, Hassan Abdul Karim menganggap keputusan Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan hukuman Datuk Seri Najib Razak ditangguh sebagai tidak adil.
Ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata mengikut undang-undang sedia ada, rayuan ke mahkamah lebih tinggi tidak bermakna secara automatik penggantungan perlaksanaan hukuman terhadap Najib dibenarkan.
“Tetapi amalan duluan atau precedent dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Kes Fitnah II perlu dirujuk. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan.
“Tetapi kerajaan BN (Barisan Nasional) waktu itu diketuai oleh PM (Perdana Menteri) Najib Razak telah mengarahkan Pendakwa Raya supaya membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.
“Mahkamah Rayuan Malaysia kemudian telah mengenepikan keputusan tidak bersalah yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hassan berkata, Anwar ketika itu memohon penggantungan perlaksanaan hukuman penjara ke atasnya kerana beliau akan memfail rayuan ke Mahkamah Persekutuan.
“Tetapi permohonan Anwar ditolak oleh Mahkamah Rayuan. Beliau dihantar dari Mahkamah Rayuan di Putrajaya terus ke Penjara Sungai Buloh.
“Jadi, berdasarkan kepada Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan di mana dinyatakan secara bertulis bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang, maka saya menuntut tidak ada amalan dua darjat yang membezakan antara Najib dengan Anwar,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Hassan menuntut apa jua keputusan yang Mahkamah kepada Presiden PKR itu turut sama dilaksanakan terhadap Najb.
“Jika demikian berlaku, barulah dunia melihat sistem undang-undang Malaysia sesungguhnya adil,” katanya.
Terdahulu hukuman terhadap bekas Perdana Menteri itu ditangguhkan sementara bagi menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Penangguhan itu dibuat oleh peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera membenarkan penangguhan itu selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat.
Panel tiga hakim berkenaan sebelum itu sebulat suara mengekalkan sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta selepas menolak rayuan bekas Najib. – Malaysiapost

