
AHLI Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi hari ini memberi penjelasan mengapa beliau menyifatkan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai Menteri Besar paling ‘lok lak’.
Mohd Puad juga menjawab sindiran Muhammad Sanusi semalam yang bertanya beliau berasal dari planet mana kerana tiba-tiba membuat kenyataan sedemikian.
“Marah betul MB Kedah pada saya. Dia tanya, saya datang dari planet mana? Saya orang Johor. MB Kedah tidak tahu Johor di planet mana ke?
“Sebagai orang Johor saya penyokong diehard Johor Darul Ta’zim (JDT). Sanusi, mesti sokong team Kedah sebab dia orang Kedah,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Mohd Puad bagaimanapun berkata kedua-dua pihak perlu ada semangat kesukanan apabila melibatkan bola sepak kerana kalah atau menang adalah adat permainan.
“JDT melawan hingga wisel penamat. Walaupun juara banyak kali, JDT terima kekalahan. Itulah sukan.
“Tiada gaduh gaduh. Maka apa perlunya MB Kedah buat posting menyindir seperti berikut, “sapa ada gambaq rimau jalan tersipu sipu”.
“Itu yang saya kata MB Kedah “loklak”. Tujuan sukan ialah perpaduan, keharmonian dan persahabatan. Maka sindiran MB Kedah itu tidak harmoni, berdendam dan cari gaduh,” katanya.
Atas sebab itu Mohd Puad berkata, beliau menyatakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow lebih baik kerana berbudi bahasa dan tidak ‘lok lak’ walaupun DAP musuh politik pada Umno dan PAS.
“Ingat YAB, bahasa jiwa bangsa. Jangan nanti YAB dibuang ke planet Otaba pula. Otaba tu apa ye?,” katanya.
Semalam Mohd Puad menyifatkan Muhammad Sanusi sebagai Menteri Besar paling ‘lok lak’ malah berkata Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow lebih baik.
Mohd Puad juga menyifatkan tingkah laku Muhammad Sanusi tidak sepadan dengan parti PAS diwakilinya.
“Baik lagi CM (Ketua Menteri) Penang dari MB Kedah. Ramai kata, dulu, kini dan selamanya MB paling “lok lak” ialah MB Kedah sekarang.
“Bahasanya, sikapnya dan tingkah lakunya semua “lok lak”. Tak padan dengan nama partinya PAS. Kaki gaduh,” katanya.
Bagaimanapun Muhammad Sanusi enggan melayan usikan Mohd Puad tetapi sempat menyindir bekas Timbalan Menteri itu.
“No komen! Puad ini objek yang tidak berada dalam radar politik pada ketika ini. Ada sesiapa tahu dia berada di planet mana?,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini. – Malaysiapost
