PELAKON Uqasha Senrose tidak menolak jika ditakdirkan hamil dalam masa terdekat ini.
Dia dan suami, Kamal Adli yang telah diijabkabulkan pada 5 November lalu sebagai pasangan suami isteri mengimpikan keluarga yang ‘meriah’ dikelilingi empat orang anak.
“Sejujurnya saya bersedia sekiranya ada rezeki hamil awal. Iyelah hal macam ni, sebaiknya tidak perlulah dirancang.
“Kalau ada (rezeki anak), ada la. Kalau ikut Kamal, dia gembira sekiranya kami mempunyai empat cahaya mata, dua lelaki dan dua perempuan,” katanya dipetik MStar, hari ini.
Terdahulu, pasangan suami isteri itu mengumumkan sudah sah bernikah sebulan lalu dalam sebuah majlis tertutup di ibu negara.
Kakak kepada Nelydia Senrose itu juga memberitahu rancangan dia dan Kamal untuk menunaikan umrah pada 23 Disember ini sebelum berbulan madu.
Menurut Uqasha, 29, tujuannya berangkat ke tanah suci Makkah buat kali ketiga adalah bagi merealisasikan hajat Kamal yang pertama kali mengerjakan ibadah tersebut.
Katanya, pertama kali beliau mengerjakan umrah sebelum menjalani penggambaran drama bersiri, Selepas Terlafaznya Akad bergandingan dengan Kamal, tetapi ketika itu hubungan mereka tidak lebih sebagai rakan artis sahaja.
“Alhamdulillah, drama tersebut meletup dan selepas itu saya sekali lagi ke tanah suci bersama keluarga. Ketika itu kami sedang mengenali hati budi dan saya berdoa di depan Kaabah.
“Doa saya, sekiranya benar Ahmad Kamal Ahmad Adli adalah jodohku, Kau panjangkanlah jodoh kami dan jika sebaliknya, Kau pisahkan kami cara baik.
“Alhamdulillah, jodoh kami berterusan dan kerana itulah sebabnya saya berhajat untuk lakukan umrah sekali lagi demi memanjatkan kesyukuran atas doa jodoh yang dimakbulkanNya,” katanya. – Malaysiapost
Foto kkredit Astro Gempak

