TIMBALAN Pengarah Education Malaysia Global Services (EMGS) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas pertuduhan menyebabkan seorang kakitangan dipecat selepas memberi maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tertuduh, Wafiy Abdul Aziz, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azman Ahmad.
Memetik laporan Berita Harian, Wafiy didakwa mengambil tindakan memudaratkan terhadap seorang pemberi maklumat dengan cara mengapi-apikan pengerusi syarikat itu supaya menandatangani dokumen ‘penamatan perkhidmatan’ sebagai tindak balas kerana mendedahkan kelakuan tidak wajar tertuduh.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Hampshire Office 1, Jalan Mayang Sari, di sini, 9 Januari lalu, mengikut Seksyen 10 (3) (b) Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan mengikut seksyen itu adalah yang pertama dalam sejarah sejak akta berkenaan berkuat kuasa pada 2010.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Afif Ali, menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
Namun, tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam, Siti Sarah Khalili, memaklumkan pernah dituduh di mahkamah sama mengikut Seksyen 23 Akta SPRM dan melaporkan diri dua kali sebulan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan mengekalkan syarat tambahan ditetapkan sebelum ini.
Tertuduh juga dilarang mengganggu saksi pendakwaan sepanjang tempoh perbicaraan sehingga kes selesai, dan mahkamah menetapkan tarikh 20 Oktober depan untuk sebutan semula kes. – Malaysiapost

