SOP PRN Sarawak sekat pilihan raya diadakan secara bersih, bebas, dan adil – Kit Siang

0
3
https://www.facebook.com/35787761072/photos/pb.100044336560741.-2207520000../10157965189016073/?type=3

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) digesa melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak bagi memastikan pilihan raya yang bersih, bebas, dan adil.

Gesaan itu dibuat veteran DAP Lim Kit Siang yang berpendapat proses demokrasi berkenaan tidak wajar disekat atas nama mengekang penularan wabak Covid-19.

“Semua orang setuju yang dalam PRN Sarawak ini, kita semua tidak boleh lalai daripada keadaan wabak Covid-19 dan perlu melakukan apa sahaja yang kita boleh lakukan untuk menghalang penularan wabak ini.

“Tetapi perkara ini tidaklah patut digunakan sebagai alasan untuk menyekat suatu pilihan raya yang ‘bersih, bebas, dan adil’.

“Atas sebab inilah saya tidak bersetuju dengan sesetengah SOP yang telah diumumkan untuk PRN Sarawak ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sebagai contoh, tidak ada sebab untuk menghadkan perjalanan merentas negeri untuk berkempen kepada hanya lima orang pemimpin tertinggi sesebuah parti.

Beliau berpendapat, perkara itu hanya menyekat perjalanan sebuah pilihan raya dan bukannya menyekat penularan wabak Covid-19.

“Tidak ada sebab juga untuk menghadkan ceramah hanya kepada 64 kerusi di atas sebab ‘akses internet yang tidak baik’.

“Apa yang penting adalah supaya SOP Covid-19 dipatuhi untuk mengelakkan penularan Covid-19, bukannya sama ada sesuatu kawasan itu mempunyai liputan internet yang baik atau tidak,” katanya.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, berkata sekiranya 60 kawasan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ini boleh mengadakan ceramah dengan mematuhi SOP Covid-19, tiada sebab kawasan lain tidak boleh mengadakannya.

“Melainkan sebab sebenar sekatan ini adalah untuk membantu parti politik tertentu dengan memberikan mereka kelebihan dalam PRN Sarawak di 22 lagi kerusi.

“SOP PRN Sarawak sedia ada ini memenuhi objektif untuk mengekang penularan wabak Covid-19, bukannya untuk mengadakan pilihan raya yang ‘bersih, bebas, dan adil’,” dakwanya.

Beliau meminta SPR segera berunding dengan semua parti politik untuk SOP PRN Sarawak dilonggarkan bagi memenuhi objektif mengekang Covid-19 dan pada masa sama mengadakan pilihan raya yang bersih, bebas, dan adil. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here