Isu RM400 satu kaki persegi: Bukan tanah, bukan terletak di Kampung Baru – Najib

0
2

DATUK Seri Najib Razak menjelaskan ‘tanah Kampung Baru’ di ibu negara yang dikatakan dipaksa beli dengan harga RM400 satu kaki persegi, bukan tanah dan bukan terletak di Kampung Baru.

Sebaliknya bekas Perdana Menteri itu mendakwa ia adalah penipuan Parti Amanah Negara (Amanah) kerana sebenarnya harga tersebut adalah untuk penghuni flat PKNS.

“Yang menjadi isu ialah penghuni Kampung Sungai Baru – bukan Kampung haru walaupun berhampiran.

“Kampung Sungai Baru tidak berstatus “Pertanian Melayu Kampung Baru (MAS). Di bawah MAS, pemilik dikenakan syarat atau halangan, iaitu hanya boleh menjualnya kepada pembeli Melayu.

“Kampung Sungai Baru berstatus persendirian atau pajakan 99 tahun.

“Ini berbeza dengan status tanah Kampung Baru yang mengandungi tujuh perkampungan lain, iaitu Kampung Hujung Pasir, Periuk, Masjid, Paya, Kariah A, Kariah B serta Pindah yang ditadbir oleh MAS,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Semalam media melaporkan kira-kira 20 penduduk Kampung Sungai Baru diarah untuk mengosongkan unit mereka.

Mereka meminta kerajaan campur tangan kerana pampasan yang diberikan sebanyak RM250,000 atau RM400 sekaki persegi terlalu rendah.

Penduduk berkata pampasan sebanyak itu sukar untuk mereka mendapatkan rumah berharga RM250,000 di Kuala Lumpur.

Dilaporkan penduduk diarah mengosongkan unit mereka bagi memberi laluan kepada projek pembangunan semula kawasan itu menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 yang dihantar kepada mereka serta notis di dinding-dinding rumah.

Sementara itu Najib mendakwa Kampung Sungai Baru ini sudah lama diintai broker sejak pentadbir kerajaan Pakatan Harapan (PH) lagi.

Katanya lagi, arahan untuk mengambil tanah tersebut dilakukan di bawah Akta pengambilan tanah diwartakan pada 21 Jun 2021 mengunakan kuasa penuh darurat.

“Masa itu tiada (sidang) parlimen dan kita bawah perintah darurat. Bulan Jun itu pun bawah Total Lockdown PM8 (yang tak total sangat).

“Berita pengambilan tanah tersebut juga tidak diumumkan kerajaan masa itu.

Jadi, kenapa pula salah Najib sekiranya kerajaan PN gunakan kuasa penuh Darurat untuk ambil tanah secara senyap-senyap pada ketika Total Lockdown,” katanya.

Najib berkata beliau bukan Menteri Kewangan, Menteri Wilayah Perdana mahupun Menteri Undang-undang pada ketika itu dan beliau juga tidak dimaklumkan tentang perkara dan warta masa ia dibuat.

“Najib tak pernah kata harga tanah Kampung Baru adalah RM3,000 satu kaki persegi. Tapi Najib pernah kata harga tanah sebanyak RM850 satu kaki persegi yang mula ditawarkan masa itu adalah rendah sedangkan tanah di KLCC yang berdekatan sudah RM3,000 satu kaki persegi.

“Jadi, harga RM850 satu kaki persegi itu patut dinaikkan oleh kerajaan PH. Adakah salah bagi saya untuk tuntut harga yang lebih tinggi bagi penghuni Kampung Baru?

“Dan ia berkesan apabila kerajaan PH kemudian tambah RM150 ke RM1,000 per kaki persegi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here