Malaysia sumbang 842,600 dos vaksin AstraZeneca kepada Bangladesh, Laos 

0
2
Botol Vaksin AstraZaneca di PWTC.

MALAYSIA menyumbang 559,200 dos vaksin AstraZeneca kepada Bangladesh dan 283,400 dos lagi kepada Laos sebagai komitmen negara dalam memastikan negara yang memerlukan mendapat kesaksamaan akses kepada bekalan vaksin Covid-19. 

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata sumbangan vaksin berkenaan akan diterima negara terbabit pada hari ini dan Rabu. 

Beliau berkata, sehingga hari ini kadar vaksinasi lengkap bagi populasi Bangladesh adalah 20 peratus, manakala Laos pula sebanyak 42 peratus. 

“Untuk makluman, Malaysia sebelum ini juga pernah menerima sumbangan vaksin daripada empat negara iaitu Jepun, Amerika Syarikat, China dan United Kingdom dengan jumlah keseluruhan sumbangan diterima adalah sebanyak 2,913,790 dos. 

“Sumbangan ini telah membantu meningkatkan kadar liputan vaksinasi di dalam negara dan kini Malaysia berharap dapat lakukan perkara sama kepada negara-negara yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Khairy berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan kepada seluruh Keluarga Malaysia bahawa dengan pemberian sumbangan ini, negara masih mempunyai stok bekalan vaksin yang mencukupi untuk populasi dewasa, remaja dan juga dos penggalak. 

“KKM berharap sumbangan ini dapat membantu usaha kerajaan kedua-dua negara dalam menangani pandemik Covid-19 serta meningkatkan lagi kadar vaksinasi di negara masing-masing. 

“Kerajaan melalui KKM dan Wisma Putra akan terus mengenal pasti dan membantu negara-negara yang mencatatkan kadar vaksinasi rendah melalui pemberian sumbangan vaksin Covid-19,” katanya. 

Untuk rekod, sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan bermula 24 Februari lalu sehingga semalam, sebanyak 98.5 peratus populasi dewasa negara sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. 

Populasi dewasa negara yang lengkap dua dos vaksinasi Covid-19 pula sudah mencapai 97.1 peratus, manakala populasi remaja yang lengkap vaksinasi adalah 86.5 peratus. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here