Hanya satu kluster Covid-19 dikesan pada PRN Melaka

0
2

SEPANJANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan November lalu, hanya satu kluster aktif dikesan membabitkan 41 kes positif Covid-19 di di dua madrasah, di Jasin.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata kluster dikenali Kluster Pulau Gadong itu dikesan selepas indeks kes adalah ustaz yang mengajar di dua madrasah berkenaan bertugas sebagai jentera kempen PRN Melaka.

“Kes indeks bermula apabila guru berkenaan mempunyai simptom pada 21 November telah mengajar di dua buah pusat tahfiz berkenaan pada 22 dan 23 November sebelum beliau disahkan positif Covid-19 pada 25 November.

“Saringan dibuat terhadap 185 individu termasuk kontak rapat indeks di kedua-dua pusat tahfiz berkenaan, dengan 41 orang positif membabitkan 33 pelajar dan lapan guru serta pekerja disahkan positif,” katanya dalam sidang media, hari ini

Beliau berkata, kesemua yang positif dikuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) MITC Ayer Keroh.

Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, kedua-dua madrasah itu juga telah diarahkan tutup sehingga 17 dan 18 Disember ini  bagi tujuan pembersihan dan disinfeksi.

“Secara keseluruhannya, saya melihat kes positif Covid-19 selepas PRN Melaka berakhir 20 November lalu berjaya kawal dengan kadar jangkitan yang lebih rendah iaitu 4.6 peratus berbanding 70 peratus pada PRN Sabah yang lalu.

“Jadi rakyat sebenarnya dengan persediaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, rakyat tidak perlu bimbang mengenai kemungkinan berlaku peningkatan kes pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here