Lagi kes lelaki ‘berlagak’ marshal dicari polis

0
2

POLIS sedang mengesan lelaki dalam video tular yang memberi arahan kepada orang awam supaya memperlahankan kenderaan di di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata rakaman itu memaparkan aksi marshal memberi arahan kepada sebuah kenderaan awam supaya memperlahankan kenderaan dan bergerak ke lorong kiri bagi memberi laluan kepada sekumpulan penuntut motosikal berkuasa tinggi.

Menurutnya, rakaman berdurasi tiga minit itu menunjukkan konvoi berkenaan dipercayai bergerak dari arah Kuala Sungai Baru, Alor Gajah melepasi kawasan Jalan Tanjung Agas Pasir Panjang, Port Dickson.

“Polis sedang mengesan individu yang terlibat dalam rakaman dan meminta mana-mana pihak yang memiliki maklumat kejadian untuk menyalurkannya bagi membantu siasatan.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Port Dickson di talian 06 6472222,” katanya dalam kenyataan.

Aidi Sham berkata, siasatan dijalankan bawah Seksyen 21 Akta Polis 1967, Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Halangan Lalulintas) dan Kaedah-Kaedah Lalulintas 167/59 (Kaedah 12(3)(A) – (Kesalahan di garisan berkembar).

Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal berkuasa tinggi seperti aksi pengiring atau ‘marshal’ dirakam pengguna jalan raya menggunakan kamera dash cam.

Sebelum ini, kejadian sama berlaku apabila video tular pengiring konvoi motosikal berkuasa tinggi memberhentikan kenderaan awam di persimpangan lampu Isyarat Sua Betong di Port Dickson. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here