AHLI Parlimen Segambut Hannah Yeoh mempertahankan kewajaran tindakannya memakai selendang di sebuah masjid baru-baru ini.
Beliau berkata, sejak menjadi wakil rakyat, beliau akan memastikan pakaian yang sesuai ketika mengunjungi setiap rumah ibadat.
Menurutnya, selain masjid, beberapa tempat ibadat lain juga memerlukan kedua-dua lelaki dan wanita untuk menutupi kepala mereka sebagai contoh di gurdwara dan beberapa gereja yang mengamalkan pakaian sebegitu.
“Selama beberapa hari ini, terlalu banyak yang diperkatakan mengenai tindakan saya yang memakai selendang menutupi kepala saya ketika melawat sebuah masjid di Segambut.
“Walaupun hanya sebilangan kecil yang mengkritik tindakan tersebut, namun lebih ramai lagi yang menunjukkan sokongan kepada saya.
“Sepanjang saya menjadi wakil rakyat selama 13 tahun di kawasan berbilang kaum dan agama seperti di Segambut dan Subang Jaya, saya sentiasa memberikan penghormatan seperti ini semasa saya turun ke kawasan saya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Wakil rakyat DAP itu juga menjelaskan, perbuatan menutupi kepala di hadapan mereka yang dihormati adalah sebagai tanda hormat kepada mereka.
“Ia juga adab kesopanan. Perbuatan ini juga diamalkan apabila kita menziarahi kematian.
“Saya akan terus melakukannya walaupun berhadapan dengan segelintir suara yang melampau di tanah air sendiri.
“Saya membuat kenyataan media ini untuk menjelaskan kepada mereka di luar sana akan kepentingan menutupi kepala di tempat ibadat,” katanya.
Hannah menambah, menutupi kepala dengan selendang tidak mengubah kepercayaan anutan agama seseorang individu.
Katanya, ini menunjukkan sikap saling hormati-menghormati kepada masyarakat selain dapat menerapkan nilai-nilai kebaikan.
“Kita perlu mempertahankan dan berjuang untuk Malaysia yang sederhana. Sebuah negara Malaysia yang bukan untuk saya seorang sahaja tetapi untuk orang lain juga.
“Sikap mementingkan diri sendiri hanyalah resipi untuk bencana yang lebih besar. Sampaikan suara rakyat Malaysia yang sederhana supaya ianya bergema kuat di tempat kerja, kawasan kejiranan, ketika pertemuaan bersama keluarga, tempat ibadat dan melalui media sosial kita.
“Menutupi kepala ketika saya di dalam masjid tidak akan mengubah bangsa dan agama saya,” katanya.
Khamis lalu, media melaporkan Hannah membuat kejutan apabila berselendang dan berbaju kurung ketika menghadiri hari terbuka di sebuah masjid di Segambut.
Penampilan Ahli Parlimen Segambut berselendang ungu yang sedondon dengan baju kurung dipakainya membuatkan beliau tidak dikenali seorang pengunjung berbangsa Cina.
Kejadian itu telah dikongsinya menerusi hantara klip video di Twitter.
“Menghadiri Hari Terbuka di Masjid Al-Imam Al-Ghazali Bandar Menjalara Segambut. Gembira melihat penduduk pelbagai kaum melawat masjid hari ini. Video, uncle ini tak cam saya kerana saya berselendang,” ciap Hannah. – Malaysiapost

