BN sah tidak bertanding PRN Sarawak, beri laluan pada GPS

0
2

Nurul Huda Abhar

BARISAN Nasional (BN) hari ini menyatakan pendirian secara rasmi tidak akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak untuk memberi laluan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata BN akan memberikan sokongan moral kepada GPS walaupun parti itu bukan lagi berada dalam komponen BN.

“Kami datang memberikan sokongan moral dan menyatakan secara rasmi menyatakan buat pertama kalinya BN tidak akan menyertai PRN Sarawak.

“Kami memberikan sokongan moral dan berdoa, walaupun GPS sudah tidak lagi bersama dengan rakan-rakan yang membina BN sejak tahun 1974. Selepas itu terus menjadi gabungan parti yang besar.

“Tetapi selepas Pilihan Raya Umum ke14 (PRU14) GPS telah buat keputusan untuk tidak lagi bersama BN disebabkan oleh faktor-faktor politik setempat,” katanya dalam sidang media di Hotel Hilton Kuching, Sarawak hari ini.

Sementara itu, Mohamad berkata, BN tidak akan membenarkan mana-mana pihak menggunakan lambang dacing yang sinonim dengan parti itu PRN berkenaan.

Beliau berkata, BN akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekiranya terdapat parti politik atau individu menggunakan lambang berkenaan.

“Kami juga menyatakan secara rasmi bahawa BN tidak akan bertanding pada PRN kali ini dan tidak membenarkan mana-mana pihak menggunakan lambang dacing yang selama ini menjadi simbol kami,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, GPS akan menampilkan 82 calon di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) dan beliau memohon rakyat Sarawak memberikan kepercayaan kepada parti itu untuk membentuk sebuah negeri.

“Jadi hari ini kami masih lagi mempunyai semangat BN, kami datang memberikan sokongan moral dan berdoa GPS dapat mengekalkan kemenangan cemerlang untuk pilihan raya kali ini.

“Kepada rakyat Sarawak mohon diberi kepercayaan semula kepada GPS kerana faktor kestabilan sebuah negeri dan negara adalah penting untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

Mohamad berkata, semoga kemenangan besar yang diperolehi BN di Melaka akan turut terjadi kepada GPS di Sarawak.

“Saya harap agar angin daripada Melaka dapat kita bawa melalui Laut Cina Selatan sampai ke Sarawak di mana rakyat di Melaka telah beri mandat yang besar kepada BN,” katanya.

PRN Sarawak akan diadakan pada 18 Disember ini dan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 6 Disember. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here