
JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) perlu membuka lebih banyak peluang kepada warga profesion teknikal mengisi jawatan strategik dan pembuat dasar negara yang sebelum ini secara tradisinya diisi oleh golongan pengurusan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata langkah dapat direalisasikan dalam perkhidmatan awam kerana Malaysia mempunyai ramai insan berbakat besar yang telah mencipta nama di persada antarabangsa.
“Saya yakin hasrat ini dapat direalisasikan kerana Malaysia mempunyai ramai bakat yang telah diiktiraf di pentas antarabangsa seperti Cik Fakhirah Khairuddin, Jurutera Mekanikal TESLA Inc. Amerika Syarikat dan Encik Mohammad Ruhaidi Abdul Rashid, Jurutera Struktur, Pakar Rekabentuk dan Pengurus Kanan Teknikal di BMW Motorsport Jerman.
“Bagi sektor awam, Malaysia juga boleh berbangga dengan agensi teknikal kerajaan, contohnya Jabatan Kerja Raya (JKR) yang banyak berjasa kepada pembangunan infrastruktur negara dengan melaksanakan lebih RM500 bilion projek pembangunan infrastruktur sejak ditubuhkan pada 1872,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Hari Profesion Teknikal Negara secara dalam talian, hari ini.
Ismail Sabri berkata, pelbagai inisiatif dan strategi yang berkait rapat dengan bidang teknikal telah diketengahkan kerajaan melalui dasar-dasar yang komprehensif dan holistik.
Menurutnya, kerajaan telah mengambil kira pelbagai pandangan dan nasihat pakar daripada Kementerian Kerja Raya; Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI); Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI); Malaysian Administrative Modernisation and Management Planning Unit (MAMPU) dan agensi teknikal negara iaitu JKR dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Pada masa yang sama, pandangan daripada pihak swasta dan juga penggiat industri turut tidak diketepikan. Ia bertujuan bagi memastikan bidang teknikal negara kekal mampan dan berdaya saing,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan telah memperkenalkan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara bagi memastikan negara tidak ketinggalan dengan arus perubahan dan ledakan teknologi.
Katanya, dasar itu merupakan inisiatif yang melambangkan aspirasi kerajaan mentransformasi Malaysia ke arah pembangunan sosio-ekonomi negara yang inklusif dan mampan, berpacukan pendigitalan, seterusnya menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital. – Malaysiapost
