24 pelajar Maktab Mahmud positif Covid-19

0
2

SERAMAI 24 pelajar lelaki Maktab Mahmud Taman Pelangi Jaya, Sik, Kedah, disahkan positif Covid-19 hari ini, selepas menunjukkan gejala sejak 28 November lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, berkata kluster itu dinamakan Kluster Dah Pelangi membabitkan pelajar asrama lelaki.

“Kes kluster ini dikesan selepas beberapa pelajar didapati mengalami gejala bermula pada 28 November lalu.

“Pihak pengurusan sekolah sudah melakukan saringan bersasar kepada pelajar dan kes mula didaftarkan positif pada hari ini.

“Punca penularan jangkitan masih dalam siasatan pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Mohd Hayati, berkata sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 38 individu telah disaring dalam kluster ini.

Katanya, 24 kes dikesan positif manakala 14 adalah negatif dan tiada sampel menunggu keputusan sehingga hari ini.

“Pihak Pejabat Kesihatan Daerah telah menjalankan isolasi dan pemerhatian kepada kes positif manakala kesemua kontak rapat yang dikenal pasti pula diarahkan menjalani kuarantin.

“Selain itu, notis penutupan sekolah sementara juga telah diberikan bermula hari ini sehingga kerja basmi kuman dan pencegahan penularan selesai dijalankan,” katanya.

Justeru, beliau berkata, berkata JKN menyeru orang ramai terutama pihak pengurusan sekolah untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan oleh kerajaan dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian.

“Patuh kepada penjarakan fizikal sepanjang masa dan elakkan daripada bersentuhan dan bersembang dekat serta memakai pelitup muka dengan sempurna sepanjang masa.

“Hindari kawasan sesak, ruang sempit serra tertutup dan kerap cuci tangan dengan air dan sabun atau pensanitasi tangan serta pembersihan permukaan yang sering disentuh.

“Pihak sekolah juga perlu memastikan pengudaraan yang baik di kawasan pembelajaran dan asrama,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here