Tahan penjenayah di plaza tol, Polis Bantuan terima anugerah ‘Hero Lebuh Raya’

0
2

SEORANG Polis Bantuan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) diiktiraf sebagai ‘Hero Lebuh Raya’ di atas keberaniannya menahan penjenayah di Plaza Tol Puchong Selatan LDP pada Disember 2017.

Nizam Mohd Salleh, 54, menerima Anugerah Hero Lebuh Raya yang disampaikan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam Majlis Anugerah Industri Lebuh Raya 2021 anjuran Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), semalam.

Pengiktirafan anugerah itu atas keberanian Nizam menjalankan tanggungjawab melindungi keselamatan pengguna lebuh raya ketika bertugas, memetik laporan Sinar Harian.

Beliau yang telah 16 tahun berkhidmat dengan konsesi lebuh raya, Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak) turut menerima pengiktirafan tersebut atas keberaniannya menahan seorang pemandu agresif yang bertindak menyerang pengawal keselamatan di Plaza Tol Petaling Jaya Selatan, LDP pada 2019.

Penerima Anugerah Ketua Polis Negara pada tahun 2018 itu bagaimanapun kini bergelar Orang Kelainan Upaya (OKU) selepas kaki kiri kerana terpaksa dipotong akibat komplikasi kencing manis pada Ogos lalu.

Walaupun tidak lagi terlibat dengan kerja-kerja di lapangan, beliau bersyukur masih diberi peluang dan lebih bersemangat berkongsi pengalaman, nasihat serta mendidik generasi pelapis baharu Polis Bantuan supaya komited berkhidmat untuk pengguna lebuh raya.

“Saya gembira dan terharu kerana diberikan penghargaan seperti ini. Apa yang dilakukan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab dan tugas saya.

“Saya juga reda dan bersikap positif dengan ujian yang kini menimpa saya apabila kaki kiri saya terpaksa diamputasi disebabkan komplikasi diabetes semasa saya positif Covid-19,” katanya.

Anugerah Hero Lebuh Raya diberi khususnya untuk mengiktiraf jasa individu atau agensi yang mempamerkan keberanian, kecekalan dan usaha melindungi nyawa, menyelamatkan mangsa yang terlibat dalam kemalangan dan sebagainya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here