AKHIRNYA teka-teki mengenai perkahwinan penyanyi, Datuk Nora Ariffin terjawab apabila beliau mengumumkan telah melangsungkan pernikahan, baru-baru ini.
Berkongsi berita gembira itu menerusi Instagramnya malam tadi, Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Ariffin memaklumkan, beliau bertemu jodoh dengan Pensyarah Kanan Usul dan Fiqh, Dr Rushdi Ramli yang juga sahabat baik Allahyarham suaminya, Johan Nawawi.
“Saya dengan rendah hati dan bersyukur ke hadrat Allah ingin memaklumkan bahawa saya kini telah bertemu jodoh dengan seorang hamba Allah yang merupakan sahabat baik arwah Johan sejak dari kecil lagi.
“Beliau adalah saudara Rushdi Ramli,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, Nora memohon maaf kerana tidak menghebahkan tentang perkahwinan keduanya itu terlebih awal.
“Saya ingin meminta maaf kerana dari awal lagi saya memang berniat untuk tidak menghebah-hebahkan ikatan ini. Cukuplah sekadar melaksanakan perkara wajib dan mengikut hukum sahaja.
“Saya berpegang kepada prinsip bahawa perkahwinan adalah satu ibadah dan ia terlalu peribadi untuk saya kongsikan, bukan ingin bermegah-megah, jauh sekali mencari publisiti.
“Jodoh, rezeki dan ajal adalah rahsia Allah yang telah ditentukan. Saya menerimanya dengan penuh sabar, reda dan syukur. Hanya kebaikan yang saya harapkan,” katanya.
Nora juga tidak menjelaskan secara terperinci butiran majlis perkahwinannya itu.
Dalam pada itu, penyanyi Di Persimpangan Dilema itu turut mengharapkan doa orang ramai agar mahligai dibinanya dikurnia bahagia dan berkekalan hingga ke syurga.
“Saya juga memohon agar semua insan yang mengenali saya dan peminat sudi menitipkan doa buat saya mendapat keluarga sakinah, mawaddah, warahmah, dipermudahkan segala urusan, diberkati dan diredai Allah dunia serta akhirat. Insya-Allah,” katanya.
Sebelum ini, spekulasi hangat mendakwa Nora melangsungkan perkahwinan dengan Ahli Parlimen Ketereh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, apabila tular dalam media sosial mengenai sekeping salinan sijil pernikahan dikatakan milik mereka.
Nora mendirikan rumah tangga bersama Allahyarham Johan pada 1992 serta dikurniakan empat cahaya mata, dua lelaki dan dua perempuan.
Namun, arwah Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung dan pada 13 Disember 2019, Nora diuji dengan pemergian anak keduanya Muhammad Syakir Aliff yang ketika itu berusia 20 tahun. – Malaysiapost

