PRN Sarawak: Aktiviti berkumpul, perarakan tidak dibenarkan

0
2

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) tidak membenarkan aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong calon bertanding di mana-mana pusat penamaan calon sepanjang tempoh penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Isnin ini.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata hanya calon, pencadang dan penyokong calon dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon (PPC).

“Penyokong-penyokong parti politik yang diwakili oleh bakal-bakal calon tidak dibenarkan hadir ke PPC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ikmalrudin berkata, bagi memudahkan proses penamaan calon, SPR meminta bakal calon agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang itu dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak sebelum hari penamaan calon.

“Selain itu bakal calon disaran untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti.

“Ini untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar,” katanya.

Menurutnya lagi, kertas penamaan calon boleh dikemukakan bermula jam 9 pagi sehingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) di 82 PPC.

“Bagi calon yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemuka semasa menyerahkan Kertas Penamaan Calon.

“SPR berharap agar proses penamaan calon berjalan lancar tanpa apa-apa insiden tidak diingini, khususnya yang boleh mengganggu ketenteraman awam,” katanya.

Sementara itu, SPR meminta semua calon dan parti politik yang terbabit agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan dikeluarkan SPR, polis, Kementerian Kesihatan (KKM), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan pihak berkuasa tempatan (PBT). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here