PASUKAN peguambela Datuk Seri Najib Razak mendakwa tidak mengetahui bahawa bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Zeti Akhtar Aziz sedang disiasat.
Menurut peguam utamanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pihaknya tidak menerima tawaran pihak pendakwaan supaya Zeti memberi keterangan semasa perbicaraan rasuah RM42 juta bekas Perdana Menteri itu membabitkan SRC International.
“Dalam kes SRC, pihak pendakwaan menawarkannya kepada kami seolah-olah dia tidak penting. Mereka tidak pernah memberitahu kami Zeti sedang disiasat,” katanya dalam sidang media hari ini.
Muhammad Shafee berkata, pihak pembelaan menolak tawaran itu kerana mereka tidak mempunyai sebarang petunjuk berhubung keterangannya.
“Kamu tidak memanggil saksi apabila kamu tidak tahu apa yang akan diperkatakannya itu.
“Jika kami tahu ada ahli keluarganya menerima wang daripada Jho Low, saya akan memohon di bawah Kanun Prosedur Jenayah supaya mahkamah memanggilnya,” katanya.
Beliau mengulas mengenai tindakan Najib memfailkan permohonan, hari ini untuk mengemukakan bukti baru bagi menyokong pembelaannya sebelum Mahkamah Rayuan dijadualkan menyampaikan keputusan minggu depan.
Peguam berkenaan turut merujuk komen bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas mengenai Zeti pada pada 24 November lalu.
Menurutnya, Tommy secara terang-terangan mengaku mengetahui ‘peranan Zeti dan suaminya dalam membantu Jho Low’ berhubung 1MDB.
Beliau berkata, maklumat didedahkan termasuk kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, tidak pernah dimaklumkan sebelum ini dan ia boleh menjadi bahan kepada pembelaan.
Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Disember ini untuk keputusan rayuan Najib yang memohon supaya keputusan bersalah dijatuhkan Mahkamah Tinggi serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes rasuah SRC dibatalkan.
Dalam afidavitnya, Najib berusaha mengemukakan bukti baharu selepas pendedahan SPRM bahawa Singapura telah menghantar balik ke Malaysia AS$15.4 juta dalam dana berkaitan 1MDB melibatkan syarikat milik suami Zeti, Datuk Tawfiq Ayman. – Malaysiapost

