‘Victory Parade’ Piala Malaysia KL City sekitar KL esok

0
1

PASUKAN Kuala Lumpur City FC (KL City) dan Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) mengajak warga kota bersama-sama meraikan ‘Victory Parade’ sempena menjadi Juara Piala Malaysia.

Presiden Kuala Lumpur (KL) FC Tan Sri Annuar Musa, berkata perarakan kemenangan itu akan berlangsung esok dan dijangka bermula di Dataran Merdeka, sekitar jam 4.45 petang.

“Victoria Parade Piala Malaysia ini juga untuk membolehkan warga Kuala Lumpur melihat secara lebih dekat piala tersebut dan pemain-pemain pasukan bola sepak KL City,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perarakan itu akan melewati Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR); Campbell; Jalan Raja Laut; Kampung Baru; Jalan Sultan Ismail; Jalan Ampang; bangunan KLCC; Menara Kuala Lumpur; sekitar Bukit Bintang dan seterusnya akan berhenti di Stadium Bola Sepak Cheras.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, berkata di Stadium Cheras akan diadakan persembahan oleh artis-artis Kuala Lumpur dan tempatan untuk para penyokong sementara menunggu ketibaan Piala Malaysia dan para pemain.

“Persembahan ini dijangka akan bermula pada jam 5 petang sehingga jam 6.30 petang.

“Memandangkan kejuaraan ini amat bersejarah, iaitu kejuaraan siri ke-100 dan juga hadiah bermakna menjelang sambutan ulang tahun ke-50 Bandaraya Kuala Lumpur, saya ingin mengajak penyokong pasukan Kuala Lumpur bersama meraikan kejayaan pasukan KL City ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata para penyokong juga boleh meraikan kejayaan para pemain di sepanjang perjalanan dengan mengibarkan bendera Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan.

“Dijemput juga untuk berada di Stadium Bola Sepak Cheras bagi menyambut ketibaan Piala Malaysia dan pemain-pemain bola sepak KL City di sana,” katanya.

Selasa lalu, KL City berjaya menewaskan JDT dengan jaringan 2 gol tanpa balasan di babak kedua final TM Piala Malaysia 2021. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here