‘Cuti pelepasan sebabkan kerugian RM400 juta’ – Kian Ming

0
2
Ong Kian Ming

KEPUTUSAN Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim mengumumkan cuti pelepasan esok untuk Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya akan mengakibatkan kerugian RM400 juta.

Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming berkata pengumuman Shahidan itu bukan sahaja bersifat populis, malah tidak bertanggungjawab dari segi politik.

“Pengisytiharan cuti umum secara tiba-tiba ini mengganggu ekonomi dan sosial banyak pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kian Ming berkata, memandangkan Kuala Lumpur adalah hab perkhidmatan kewangan, cuti secara tiba-tiba boleh menyebabkan kehilangan pengeluaran atau hasil jutaan ringgit yang tidak dirancang.

“Sesetengah syarikat mungkin perlu membayar lebih untuk kerja masa tambahan yang tidak dirancang untuk memastikan beberapa perkhidmatan teras mereka kekal dan berjalan semasa cuti umum ini.

“Secara kasar, cuti umum tidak dirancang ini boleh mengakibatkan kerugian RM400 juta dalam pengeluaran yang hilang, sesuatu yang negara tidak mampu hadapi semasa kita pulih daripada wabak Covid-19,” katanya.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen DAP itu berkata perniagaan yang perlu melakukan urusan dengan pejabat kerajaan pula terpaksa menangguhkannya, mengakibatkan kehilangan masa dan produktiviti.

Jelas beliau lagi, akan wujud juga gangguan sosial, seperti ibu bapa yang tinggal di Kuala Lumpur tetapi bekerja di Selangor, terpaksa membuat urusan penjagaan secara tiba-tiba untuk anak-anak mereka yang tidak perlu ke sekolah.

“Mereka yang mempunyai kes yang dijadualkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat ini, juga akan mendapati tarikh perbicaraan terpaksa ditangguhkan dan kesannya, kes mahkamah lain turut terjejas dan terpaksa ditangguh,” katanya.

Semalam Shahidan mengumumkan cuti kelepasan am bagi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pada Jumaat ini sempena kejayaan Kuala Lumpur City FC menjulang Piala Malaysia.

Shahidan berkata, cuti itu diberi bagi menghargai kemenangan KL City yang menamatkan penantian 32 tahun merangkul Piala Malaysia. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here