PENDAFTARAN secara automatik pemilih berusia 18 tahun ke atas yang diwartakan semalam akan berkuat kuasa 15 Disember ini.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, Seksyen 3(a) dan (b) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 berhubung pindaan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik itu telah diwarta sebagai P.U.(B) 615/2021, pada 1 Disember 2021.
Katanya, Pindaan Perlembagaan yang diwartakan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menetapkan tarikh 15 Disember sebagai tarikh mula berkuat kuasa.
Beliau turut memaklumkan pindaan kepada perundangan subsidiari berkaitan pilihan raya iaitu Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) (Pindaan) 2021 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya)(Pindaan) 2021 telah diwartakan pada 30 November 2021, juga akan berkuat kuasa 15 Disember ini.
“Justeru itu, SPR akan membentangkan kedua-dua pindaan peraturan-peraturan tersebut dalam Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat, Parlimen ke-14 (2021) dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – Malaysiapost

