JUMLAH pelajar dikesan positif Covid-19 di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Seri Puteri, Cyberjaya kini meningkat menjadi 71 orang.
Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, ujian saringan telah dijalankan ke atas 451 termasuk pelajar, guru dan petugas sekolah berkenaan.
“Daripada jumlah itu, seramai 437 pelajar, 13 guru dan seorang petugas telah disaring. Manakala, dikesan positif adalah seramai 73 iaitu 71 pelajar dan dua guru.
“Seramai 65 pelajar telah dipindahkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang. Semua berada dalam kategori 1 dan 2 dan keadaan dalam stabil.
“Manakala 242 individu yang merupakan kontak rapat sedang dikuarantin di asrama SSP,” katanya melalui ciapan di Twitter sebentar tadi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, KKM akan terus memantau kesihatan pesakit dan memberikan rawatan terbaik kepada mereka yang terlibat. – Malaysiapost

