
KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan 66 pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Seri Puteri, Cyberjaya, Sepang, Selangor, positif Covid-19, semalam.
Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, kluster bermula apabila enam pelajar dan seorang guru dikesan positif.
“Terdapat satu kejadian kluster Covid-19 melibatkan enam pelajar dan seorang guru di sekolah berkenaan
bermula pada 24 November lalu dan diumumkan pada 29 November 2021 sebagai Kluster Persiaran Tasik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, Pejabat Kesihatan Daerah Sepang semalam telah menjalankan saringan ke atas 240 pelajar yang akan dihantar pulang ke rumah.
“Hasil saringan mendapati seramai 66 orang pelajar positif dan telah dirujuk ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu 2.0 (PKRC),
Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang.
“Proses saringan untuk kesemua pelajar akan dilakukan oleh pejabat kesihatan sehingga 3hb Disember 2021.
“Kontak rapat akan dikuarantin di sekolah dibawah seliaan warden dan guru. Semua pelajar akan disaring oleh PKD Sepang,” katanya.
Beliau berkata, aktiviti pendidikan kesihatan telah diberikan kepada semua pelajar dan kakitangan sekolah terlibat.
Katanya, penilaian risiko juga telah dijalankan dan saranan penambahbaikan telah disampaikan kepada pihak sekolah.
“Pemantauan secara harian juga telah dijalankan ke atas semua pelajar yang sedang di kuarantin oleh Pejabat Kesihatan Daerah Sepang.
“Justeru, orang ramai dan masyarakat turut dinasihatkan agar sentiasa mematuhi SOP dan mengurangkan aktiviti berkumpulan terutamanya bagi golongan berisiko,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya individu didapati mempunyai gejala atau simptom serta menjadi kontak rapat kepada pesakit, diminta untuk menjalani ujian saringan dan kuarantin diri sehingga keputusan diperolehi.
“Orang ramai dan masyarakat turut digalakkkan untuk mengambil segera vaksin dan dos penggalak (booster) apabila telah mendapat tarikh temujanji. Maklumat terkini akan dikemaskini dari masa ke masa,” katanya. – Malaysiapost
