DJ Isma Halil kirim khabar dari ‘Sungai Buloh’

0
3

PENYAMPAI radio berpengalaman Isma Halil Hamzah, bersumpah bahawa tuduhan memiliki dadah jenis ganja yang dihadapinya ketika ini adalah tidak benar.

Beliau yang juga pengasas radio dalam talian Bapakku FM, meminta maaf selain menjelaskan tuduhan bersabit dadah yang dilemparkan kepadanya sebelum ini sebagai satu fitnah.

“Terima kasih kepada semua sahabat yang saya ada. Dan saya sihat adanya di Sungai Buloh Ini.

“Demi Allah, saya tidak seperti berita negatif yang terfitnah kepada saya.

“Maafkan saya sebab tidak ke udara lagi. Sabarlah semua sahabat. Berpisah adalah untuk bertemu lagi. Terima kasih kerana menyokong saya,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Isma berkata demikian dalam satu nota ringkas yang diberikan kepada peguamnya, Ahmad Zaharil Muhaiyar dan Adi Zulkarnain semasa kedua-dua mereka bertemu dengan anak guamnya kelmarin.

Isma kini direman di Penjara Sungai Buloh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Menurut Ahmad Zahir, Isma dituduh dan belum lagi dibicarakan mahupun disabitkan lagi untuk pertuduhan yang dikenakan.

“Berikutan itu, saya mohon semua pihak tidak menimbulkan sebarang spekulasi lagi selepas ini.

“Untuk makluman semua, sebutan di Mahkamah Majistret Jalan Duta telah ditetapkan pada 15 Disember 2021 untuk laporan jabatan kimia.

“Jika laporan tersebut sudah siap, maka kes akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan (kes ini hanya boleh dibicarakan di Mahkamah Tinggi sahaja),” katanya.

Pada September lalu, tular mengenai seorang penyampai radio dipercayai dirinya yang ditahan pihak polis selepas didapati memiliki dadah jenis ganja.

Menurut laporan polis, suspek ditahan di kediamannya di ibu kota kerana memiliki dadah jenis ganja seberat 447.44 gram yang telah diasing-asingkan kepada 22 paket plastik. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here