KPM perlu terima pandangan guru secara terbuka – PH

0
2

PAKATAN Harapan (PH) mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) lebih bersikap terbuka serta menyediakan saluran khas bagi membolehkan guru-guru menyatakan pandangan.

Cadangan itu disuarakan Jawatankuasa Pendidikan PH (JKPPH) yang bermesyuarat hari ini dengan mengambil maklum laporan media mengenai sebilangan guru-guru dipanggil oleh Unit Integriti KPM susulan menyuarakan pendapat mereka.

JKPPH dalam satu kenyataan, hari ini berpendapat, KPM tidak wajar mengambil tindakan seolah-olah guru-guru terlibat melakukan kesalahan besar sehingga mereka dikenakan tindakan punitif.

“Mesyuarat KPPH mengambil maklum petikan media yang dikeluarkan berkaitan sebilangan guru-guru yang telah dipanggil oleh Unit Integriti KPM.

“Panggilan itu dipercayai berkaitan dengan tindakan sebilangan guru-guru yang mengeluarkan pendapat kritikal agar KPM menambah baik perkhidmatan dan pelaksanaan polisi.

“Khususnya berkaitan dengan beban guru, kebajikan mereka dan juga silibus dan jadual yang membebankan anak-anak sekolah,” menurut kenyataan itu.

Menurut JKPPH, hasil penelitian mendapati isu-isu dibangkitkan guru-guru berkenaan sama ada di media sosial dan di media arus perdana, ia bukanlah isu politik, salah laku mahupun gangguan seksual yang mampu menggugat profesionalisme guru.

“Isu dibangkitkan adalah masalah-masalah asas dan sebenar yang berlaku di peringkat bawahan dan diangkat oleh guru-guru terlibat supaya pihak atasan lebih cakna untuk melakukan penambahbaikan.

“Malangnya KPM telah mengambil tindakan seolah-olah guru-guru terlibat melakukan kesalahan besar sehingga mereka dikenakan tindakan punitif,” katanya.

Susulan itu, JKPPH mencadangkan supaya KPM lebih bersikap terbuka serta menyediakan saluran khas bagi membolehkan guru-guru menyatakan pandangan mereka terkait dengan permasalahan yang timbul.

“Saluran yang disediakan membolehkan guru menyampaikan pandangan mahupun kritikan kepada KPM untuk diambil tindakan.

“Guru dicadangkan menyalurkan juga pendapat dan aduan mereka kepada Jawatankuasa Khas (JK) Pilihan Khas Pendidikan Parlimen Malaysia agar JK Pilihan tersebut dapat membawanya ke pihak KPM,” menurut kenyataan itu. – Malaysiapos

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here