Siasatan hidangan sotong goreng RM100 selesai

0
2

SIASATAN ke atas hidangan dua sotong goreng yang dijual pada harga RM100 di sebuah restoran nasi kandar di Lebuh Campbell, Geogetown, dianggap sudah selesai.

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar, berkata keputusan hasil siasatan itu akan dirujuk kepada KPDNHEP di Putrajaya untuk dipertimbangkan.

“Siasatan terhadap harga sotong goreng itu sudah selesai, cuma menunggu pertimbangan pihak kementerian.

“Keputusan akan dirujuk dulu kepada (KPDNHEP) Putrajaya bagi memastikan analisa itu bersesuaian,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas pemeriksaan Op Pasar dan Op Menu di Pasar Awam Bayan Baru dan Pasaraya Sunshine Square, Pulau Pinang hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Ridzuan enggan mengulas mengenai dakwaan pemilik restoran melanggar akta pencatutan berhubung harga sotong goreng itu.

Baru-baru ini, media melaporkan resit pembelian sotong goreng itu yang dijual RM100 bagi dua ekor, tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi orang ramai.

Sementara itu, Mohd Ridzuan berkata, pemilik restoran di Kepala Batas yang menjual kailan ikan masin berharga RM18 perlu mengemukakan maklum balas Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) selewat-lewatnya hari ini.

“Notis itu dikeluarkan pada 28 November lalu dan pemilik restoran perlu mengemukakan maklum balas selewat-lewatnya hari ini.

“Jika gagal mengemukakan maklumat mengenai harga itu, satu lagi notis akan dikeluarkan kepada pemilik restoran terbabit,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here