
RUNGUTAN rakyat mengenai kenaikan harga barang terutama makanan termasuk roti seolah-olah tidak didengari apabila barangan keperluan terus meningkat ketika ini.
Terbaru seperti yang tular sebelum ini, harga produk roti keluaran Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd tetap dinaikkan hari ini mengikut senarai harga baharu yang tersebar di media sosial beberapa hari lalu.
Usaha kerajaan meminta pihak pengeluar berkenaan untuk menangguh terlebih dahulu cadangan menaikan harga roti di pasaran ternyata gagal.
Tinjauan Malaysiapost, mendapati kesemua produk daripada syarikat berkenaan dijual pada harga baharu hari ini.
Seorang peniaga pasar mini yang ditemui mengesahkan mengenai kenaikan harga berkenaan.
“Semua produk Gardenia naik harga mula hari ini. Kini kami terpaksa hafal harga baharu kerana sudah terbiasa dengan lama,” katanya.
Malaysiapost sebelum ini melaporkan harga pelbagai produk keluaran Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd dijangka akan dinaikkan bermula 1 Disember ini.
Kenaikan harga itu tular berdasarkan surat dengan senarai harga baru bagi produk roti keluaran syarikat terbabit yang diedarkan kepada peruncit.
Syarikat terbabit dilaporkan menetapkan harga baharu kepada peruncit dan pengguna disebabkan peningkatan kos bahan mentah dan caj pengangkutan.
Antara produk yang terbabit adalah Gardenia Original Classic 400g berharga RM2.80 (naik daripada RM2.50) dan Gardenia Original Classic Jumbo 600g berharga RM4 (naik daripada RM3.55).
Susulan itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, dilaporkan berkata pihak Gardenia Bakeries diminta menangguh terlebih dahulu cadangan menaikkan harga roti di pasaran.
Beliau berharap, syarikat berkenaan lebih prihatin dengan kesempitan masyarakat sekarang. – Malaysiapost
