Omicron: Pelajar, pekerja dari negara berisiko tinggi disekat masuk Malaysia 

0
2

KERAJAAN akan menangguh sementara kemasukan pelajar antarabangsa dan pekerja asing dari negara-negara yang disenarai berisiko menyebabkan varian Omicron. 

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sebanyak 20 negara sudah melaporkan pengesanan Omicron dan sebanyak 203 daripada 215 kes dilaporkan di dalam laman web Global Initiative on Sharing All Influenza Data (GISAID). 

“Varian ini disyaki telah berkembang semasa jangkitan kronik dalam individu yang mempunyai sistem imun rendah,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Selain itu, Khairy berkata, sistem “autogate” Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dihentikan sementara susulan langkah kerajaan mengukuhkan kawalan pintu masuk antarabangsa.  

“Arahan ini berkuatkuasa serta-merta. Penerbangan membawa penumpang dari negara yang melaporkan penularan Omicron atau negara  berisiko tinggi berlaku penularan Omicron yang disenaraikan, hanya dibenarkan masuk ke Malaysia melalui KLIA,” katanya. 

Mengulas lanjut, Khairy berkata, pihak Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) perlu menyediakan “Gate”  Khas bagi penerbangan tersebut.  

Katanya, syarikat penerbangan bertanggungjawab mengenal pasti pengembara dari negara yang melaporkan penularan Omicron atau negara berisiko tinggi berlaku penularan Omicron yang  disenaraikan menaiki penerbangan mereka.  

“Maklumat pengembara tersebut mestilah  dikemukakan kepada Pejabat Kesihatan KLIA untuk memudahkan pengendalian ketibaan pengembara negara yang melaporkan penularan Omicron atau negara yang berisiko tinggi berlaku penularan Omicron,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/Khairy Jamaluddin

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here