AWAS! Karbon monoksida boleh terhasil dari pembakaran diesel atau petrol kenderaan serta dari penggunaan gas untuk alat pemanas dan ketika memasak yang kesannya boleh membawa maut jika terhidu.
Ia terbentuk daripada pembakaran bahan organik tanpa bekalan oksigen yang mencukupi.
Menerusi perkongsian di Facebook Public Health Malaysia, kenyataan sesetengah pihak yang menyatakan jika seseorang tidur di dalam kereta akan selamat sekiranya membuka tingkap sedikit merupakan tanggapan kurang tepat.
“Ia kerana keracunan karbon monoksida tidak memerlukan kuantiti yang banyak. Kadar yang rendah sudah cukup untuk membuatkan kita tidak sedarkan diri.
“Malah, karbon monoksida dari luar yang mengelilingi kereta juga bahaya. Kereta kita mungkin tidak kedap udara dan bahan ini boleh meresap masuk ke dalam kereta.
“Sekiranya anda bercadang untuk tidur atau sekadar berehat di dalam kenderaan dengan enjin dan pendingin hawa terpasang, fikirkan semula!,” katanya.
Laman Facebook Public Health Malaysia turut memaklumkan keracunan Karbon Monoksia merupakan punca utama kematian akibat keracunan dan gas beracun itu terhasil dari pembakaran bahan bakar tanpa oksigen yang mencukupi.
“Gas ini tidak mempunyai sebarang warna dan bau, oleh itu ia di kenali sebagai “pembunuh senyap”. Sentiasa berwaspada dan jangan ambil mudah,” katanya.
Menyentuh berkenaan gas beracun penyebab kematian semasa mangsa tidur di dalam kenderaan, katanya, pembakaran bahan bakar di dalam enjin kenderaan menghasilkan banyak gas sampingan yang dikeluarkan sebagai asap ekzos.
“Asap ekzos ini mengandungi gas yang berbahaya seperti karbon monoksida, hidrokarbon, dan nitrogen oksida.
“Ketika memandu, sistem ekzos yang baik akan membebaskan gas gas beracun ini ke persekitaran dengan lancar dan selamat. Masalah timbul apabila sistem ini bocor dan lebih diburukkan lagi apabila kenderaan tidak bergerak.
“Tanpa disedari, gas yang tidak mempunyai bau dan rasa ini akan masuk menerusi saluran pernafasan dan memasuki saluran darah.
“Gas beracun ini akan bercampur dengan hemoglobin (bahagian sel darah merah yang membawa oksigen ), lalu membentuk membentuk carboxyhaemoglobin.
“Apabila ini berlaku, darah tidak lagi mampu membawa oksigen, dan kekurangan oksigen menyebabkan sel dan tisu badan gagal dan mati!,” kata maklumat dari laman Facebook tersebut.
Justeru, gejala awal bagi keracunan gas karbon monoksida ini boleh dikesan apabila individu itu sakit kepala, pening, kelemahan, perut, sakit muntah, sakit dada, dan kekeliruan.
“Tetapi sekiranya gas ini dihidu semasa anda sedang tidur, maka anda tidak akan menyedari sebarang perubahan ini dan akhirnya menyebabkan kematian.
Sehubungan itu, laman Facebook itu mrmaklumkan, tiga tips pencegahan keracunan karbon monoksida adalah pertama, elakkan memanaskan enjin dengan asap ekzos dibebaskan di dalam kawasan rumah.
“Ia menyebabkan asap ekzos yang memenuhi ruang rumah mengandungi gas karbon monoksida dan boleh menyebabkan keracunan terutama kepada kanak kanak kecil.
“Kedua, jangan tidur ataupun sekadar berehat sebentar di dalam kenderaan dengan enjin terpasang.
“Tiga, pastikan sistem ekzos diperiksa dan diselenggara secara berkala. Ingat, kebocoran kecil boleh menyebabkan kematian,” ujarnya.
Semalam, tiga perempuan maut dan seorang kritikal dipercayai lemas gas karbon monoksida ketika tidur dalam kereta dengan keadaan enjin serta pendingin hawa dihidupkan.
Mereka ditemui tidak sedarkan diri di kawasan parkir stesen minyak di Sama Gagah, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, awal pagi semalam.
Mereka yang meninggal dunia adalah Sharifah Fariesha Syed Fathi, 21, dan Ayuni Shazwanie Shabri, 21, masing-masing meninggal dunia di tempat kejadian dan Hospital Seberang Jaya (HSJ) awal pagi tadi.
Nor Adilah Mohd Safwan, 21, meninggal dunia jam 4.23 petang ketika dirawat di Hospital Angkatan Tentera Lumut dan kembarnya, Nor Aqilah masih kritikal dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan. – Malaysiapost

