PM cadang mantapkan rangkaian wartawan serantau

0
3

PIHAK media yang bebas dan terbuka serta bertanggungjawab adalah mekanisme semak dan imbang yang menjadi teras konsep Keluarga Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
 
Menurutnya, peranan media hendaklah sentiasa dimantapkan dan diharapkan jalinan persefahaman antara kerajaan serta media akan terus subur sehingga dapat menjalin kemesraan dengan dunia dan serantau.
 
Beliau berkata, lawatannya ke Indonesia baru-baru ini membantu mengeratkan hubungan dengan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) yang telah terjalin sejak 2007.
 
“Saya percaya ISWAMI dapat memainkan peranan penting sebagai jambatan penghubung sesama wartawan kedua-dua negara.
 
“Saya berharap hubungan media dan wartawan Malaysia bersama rakan-rakan wartawan di negara jiran melalui ASEAN atau selainnya dapat diperkukuh dengan menjadikan ISWAMI sebagai model,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Malam Wartawan Malaysia 2021 anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI), di Hotel Majestic Kuala Lumpur, malam ini.
 
Ismail Sabri berkata, beliau turut mencadangkan agar satu rangkaian kerjasama serantau membabitkan wartawan pada peringkat serantau dapat diperkasa demi memudahkan capaian kesefahaman antara negara.
 
Menurutnya, media dan wartawan adalah rangkaian persefahaman secara tidak langsung, selain daripada hubungan diplomatik sedia ada.
 
“Pada malam ini juga, saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk mengekalkan tarikh 29 Mei setiap tahun sebagai Hari Wartawan Nasional (HAWANA), yang pertama kali dijayakan pada 2018.
 
“Kerajaan akan terus memberi sokongan kepada program-program yang sesuai untuk dilaksanakan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here