PROGRAM Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dan Singapura buat masa ini tidak terjejas dengan ancaman penularan varian baharu Omicron.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kerajaan bagaimanapun tidak akan membuat sebarang keputusan memperluaskannya tanpa mengetahui kesan sebenar dan impak varian baharu berkenaan.
Beliau yang juga Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19, berkata semua pihak sudah diminta membincangkan mengenai perluasan VTL seperti yang dirundingkan kedua-dua Perdana Menteri Singapura dan Malaysia, semalam.
“Kita sedia maklum seperti diumumkan oleh kedua-dua Perdana Menteri berhubung VTL darat dan udara.
“Kuartet mengambil maklum juga perbincangan kedua-duanya berhubung kait kemungkinan destinasi lain yang berpotensi seperti Singapura ke Pulau Pinang, ke Langkawi, ke Kuching dan ke Kota Kinabalu.
“Saya telah minta semua pihak supaya terus memikirkan dan berbincang perkara ini, tetapi kerajaan tidak akan buat keputusan sehingga mengetahui kesan sebenar dan impak varian baharu Omicron,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Ditanya pengesanan kes positif yang pertama VTL semalam sama ada menjejaskan program berkenaan, beliau memaklumkan ia tidak terkesan, sebaliknya membuktikan sistem yang ada dapat mengesan Covid-19.
Bagi pelaksanaan pembukaan sempadan negara kepada pelancong antarabangsa pula, Hishammuddin berkata setakat ini isu mengenai varian Omicron tidak menjejaskan perancangan itu.
“Kita sedang pantau secara dekat kesan varian baharu ini terhadap negara yang mengalaminya dan ianya berubah setiap jam sebenarnya.
“Namun ini tidak akan menjejaskan perancangan kita setakat hari ini di mana untuk pelancong antarabangsa dengan projek perintisnya adalah Langkawi yang baru dibuka,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai rungutan negara-negara Afrika berhubung sekatan perjalanan yang dikenakan kepada negara berkenaan susulan varian Omicron, beliau menegaskan pendirian negara adalah berdasarkan risiko keselamatan.
“Pendirian negara bukan bersandar kepada geopolitik atau politik atau hubungan dua hala, tetapi ia bersandar kepada risiko keselamatan dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Saya rasa negara-negara Afrika faham ia bukan isu diplomasi atau geopolitik, tetapi sebab kesihatan kerana kita tidak mahu menjejaskan apa dilakukan selama satu setengah tahun ini dengan tindakan tidak bertanggungjawab,” katanya. – Malaysiapost

