Ain, bapa disaman fitnah

0
2

GURU sekolah yang didakwa membuat gurauan berunsurkan rogol terhadap seorang murid perempuan pada April lalu, bertindak menyaman bapa dan murid berkenaan sebanyak RM1 juta.

Perkara itu dimaklumkan oleh bapa murid terbabit, Saiful Nizam Abdul Wahab dalam satu ciapan di Twitternya hari ini.

Menurut Saiful Nizam, dia dan anaknya Ain Husniza, 17, sudah menerima writ saman fitnah daripada guru pendidikan jasmani terbabit.

“Kami telah menerima writ saman fitnah dan pernyataan tuntutan dari Khairul Nizam Sanuddin (guru PJPK SMK Puncak Alam) yang telah difailkan di Mahkamah Shah Alam pada 26 November 2021,” katanya.

Sementara itu, difahamkan Saiful Nizam turut merancang menyaman balas guru terbabit sebanyak RM5 juta.

Peguam Sangkara Nair yang mewakili Ain pada 6 Ogos lalu dilaporkan berkata, saman balas itu kerana Ain menghadapi kemurungan dalam konteks sengaja mencetuskan tekanan emosi (IIED).

Ia susulan kes itu yang dianggap sebagai gangguan seksual.

Pada 24 April lalu, media melaporkan seorang guru pendidikan jasmani di sebuah sekolah di Selangor, didakwa bergurau keterlaluan seolah-olah menggalakkan pelajarnya melakukan perbuatan rogol dalam sesi pendidikan itu.

Pekara itu diceritakan Ain Husniza menerusi hantaran di TikTok dan telah mendapat perhatian ramai.

Ogos lalu, polis menerima notis Tiada Tindakan Lanjut (NFA) daripada Timbalan Pendakwa Raya sekali gus tiada sebarang tindakan dikenakan ke atas guru lelaki berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here