KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sekali lagi menjadi mangsa fitnah di media sosial dan kali ini membabitkan tangkap layar dengan gambarnya dan tajuk berita sebuah media tempatan.
Menurutnya, tangkap layar berkenaan adalah palsu dengan memasukkan kenyataan kononnya dibuat beliau hingga ramai yang percaya dan menularkannya.
Tangkap layar tajuk berita terbabit iaitu “Kerjasama dengan DAP lebih baik berbanding Bersatu” seolah-olah menggambarkan beliau menyatakan Umno lebih rela bekerjasama dengan DAP daripada Bersatu.
“Macam-macam usaha untuk memfitnah zaman sekarang ni. Bukan susah pun edit gambar dan masukkan kenyataan palsu seperti ini. Itupun ramai percaya. Sama seperti video tular yang kononnya saya peluk wanita bukan mahram.
“Pak-pak lebai pun boleh tahan menularkan video berkenaan sedangkan mereka adalah ibu dan adik-beradik kandung saya waktu penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-14)(PRU14) 2018,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya menyemak dahulu kesahihan berita yang diterima sebelum menularkannya kerana dosa memfitnah terus hidup walaupun kita mati.
Sementara itu, seorang pengguna Facebook dipercayai antara yang turut berkongsi tangkap layar palsu berkenaan bertindak meminta maaf di ruangan komen hantaran dibuat beliau.
Asyraf Wajdi turut membalas komen berkenaan dan memaafkan individu terbabit.
“Saya maafkan. Bahkan saya maafkan semua yang telah turut menularkannya,” katanya. – Malaysiapost

