Beri peruntukan cukup kepada JPJ tingkat mutu perkhidmatan – CUEPACS

0
2

CUEPACS menggesa kerajaan menaik taraf sistem perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengikut keperluan semasa, termasuk memberikan peruntukan mencukupi bagi mencapai sistem pendigitalan lengkap.

Presidennya Datuk Adnan Mat, berkata JPJ sentiasa menerima peruntukan yang terhad walaupun jabatan itu merupakan penyumbang kutipan hasil ketiga negara yang tertinggi.

Beliau berkata, perkara itu perlu diberikan perhatian oleh pihak pengurusan di Kementerian Pengangkutan supaya kebajikan pegawai dan kakitangan JPJ seiring dengan cabaran tugas masa kini.

“Pada 2010 JPJ dijanjikan peruntukan sebanyak RM420 juta bagi membangunkan pendigitalan mySikap JPJ yang moden tapi pada akhirnya bajet itu dipotong saat akhir kepada RM282 juta sahaja.

“Banyak elemen sistem dirancangkan terpaksa digugurkan dan menjadikan mySikap JPJ tidak lengkap tapi diteruskan sehingga kini.

“Dengan situasi pendemik yang melanda negara pada tahun lalu menyebabkan warga JPJ juga resah dengan kualiti sistem yang separuh lengkap ini dan sudah digunakan hampir 10 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pejabat JPJ juga perlu dinaik taraf kerana sebahagiannya sudah terlalu lama dan daif, serta menggunakan bentuk perkhidmatan lebih 20 tahun yang memerlukan pembaharuan baharu dan moden selain terdapat banyak lagi pejabat berstatus sewaan.

“Begitu juga dari segi staf dan perjawatan pegawai JPJ yang begitu terhad sekitar 8,700 orang bagi agensi kutipan hasil ketiga berbanding JPN, JIM seramai 13,000 orang.

“JPJ Negeri Johor misalnya belum diisikan lagi Jawatan Timbalan Pengarah. Ini amat membebankan Pengarah yang bekerja tanpa timbalan dengan pelbagai urusan.

“CUEPACS yakin jika perkara ini diberikan perhatian oleh Menteri dan kerajaan, JPJ akan lebih cemerlang dengan produktiviti yang tinggi serta boleh mencapai hasil melebihi bilion ringgit serta penguatkuasaan yang mengurangkan kadar kematian di jalan raya,” katanya.

Dalam pada itu, Adnan berkata, CUEPACS amat berbesar hati dan mengalu-alukan langkah turun padang Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong ke kaunter perkhidmatan JPJ Johor baru-baru ini

“Sudah tentu teguran itu akan diambil sebagai suatu perkara yang positif bagi meningkatkan lagi kualiti dan mutu perkhidmatan.

“Bagaimanapun CUEPACS percaya penyampaian perkhidmatan JPJ adalah antara yang terbaik memandangkan JPJ adalah antara agensi yang diberikan penarafan 5 bintang oleh pihak MAMPU sebelum ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here