Cik Nah peniaga nasi kerabu meninggal dunia

0
1

“SAYA amat terkejut dan sedih mendapat berita kembalinya ke Rahmatullah Allahyarhamah Cik Nah @ Minah Awang,” kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menerusi perkongsian di Facebooknya hari ini.

Peniaga warga emas berusia 72 tahun itu menjual nasi kerabu dan nasi dagang menggunakan lori bergerak di Jalan Setia Bakti, Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Pada Jun tahun lalu, Allahyarham pernah tular di media sosial melakukan sujud syukur sebaik mendapat lesen perniagaan disampaikan Annuar yang ketika itu Menteri Wilayah Persekutuan, setelah 35 tahun berniaga tanpa lesen.

Menurut Annuar sebentar tadi, setiap pagi apabila berjalan di kawasan niaga Allahyarham, mereka sentiasa menegur satu sama lain.

“Sarapan yang dijualnya adalah antara kegemaran saya. Semoga rohnya ditempatkan bersama mereka yg beriman. Al-Fatihah,” tulisnya.

Minah atau lebih dikenali sebagai Cik Nah mencari rezeki dengan mengusahakan menu nasi campur, nasi kerabu dan nasi dagang di bawah nama Cik Nah Nasi Dagang menggunakan lori bergerak.

Ketika ditemubual media pada Jun 2020, Cik Nah bersyukur menerima lesen perniagaan kerana sebelum itu sukar mencari rezeki dan pernah dikenakan tindakan penguatkuasaan.

Malah Annuar pernah memuji usaha gigih warga emas itu yang cekal berniaga setelah kematian suami.

Sepanjang berniaga, Allahyarham sanggup berusaha memandu dan memasak sendiri demi kelangsungan hidup. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here