AHLI Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari membidas laporan media mendakwa beliau memuji kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkaitan isu kenaikan harga barang.
Ia susulan laporan sebuah media mendakwa, Dewan Rakyat riuh selepas Ahmad Fadhli didakwa memuji jawapan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengenai perkara berkenaan, ketika sesi pertanyaan jawab menteri, hari ini.
Ahmad Fadhli berkata, hakikatnya apa yang dinyatakan itu bukan pujian, tetapi lebih kepada teguran bagi memperbaiki situasi kenaikan harga yang membebankan rakyat.
“Ayat saya dalam soalan tambahan tadi sangat jelas iaitu, ‘jawapan YB Menteri tadi bagus namun dari sudut realitinya tidak begitu..’
“Saya kurang pasti kenapa ia dianggap ‘pujian’ dan bukannya ‘teguran’. Atau wartawan perlu menjalani kursus bahasa?,” katanya menerusi Facebook.
Terdahulu, media melaporkan, Dewan Rakyat riuh selepas beberapa Ahli Parlimen membidas tindakan Ahmad Fadhli kerana memuji jawapan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ketika sesi pertanyaan jawab menteri mengenai isu kenaikan harga barang.
Beliau dilaporkan menyambut baik langkah KPDNHEP untuk mengadakan Program Jualan Keluarga Malaysia bermula Sabtu ini, kerana ia sedikit sebanyak dapat mengurang beban rakyat susulan kenaikan mendadak harga barang.
Bagaimanapun, Ahmad Fadhli berkata, program yang menawarkan harga jualan 15 hingga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran itu lebih baik diadakan dua hari seminggu berbanding dua kali sebulan seperti dirancang KPDNHEP. – Malaysiapost

