Shukor idam trofi kelima Piala Malaysia sebelum gantung but

0
2

‘ORANG besi’ Kuala Lumpur City FC (KLFC) Shukor Adan mengidam menjulang trofi kelima Piala Malaysia sebelum mengakhiri kariernya sebagai pemain bolasepak.

Bekas kapten kebangsaan itu mahu kejuaraan kelima menjadi kenangan manis sebelum beliau menggantung but buat selama-lamanya setelah lebih dua dekad bergelumang sebagai pemain bolasepak.

Shukor yang berasal dari Melaka tetapi mencipta nama di Negeri Sembilan telah menjulang empat kejuaraan Piala Malaysia iaitu dua bersama Selangor (2002, 2005) dan dua bersama Negeri Sembilan (2009,2011).

Selain Negeri Sembilan dan Selangor, Shukor juga pernah menyarung jersi Felda United dan Melaka berkata, sepanjang kariernya dalam arena bola sepak tanah air, KLFC antara pasukan yang terbaik pernah diwakilinya ketika ini.

“Kuala Lumpur adalah pasukan yang terbaik kerana siapa sangka pada awal saingan liga kurang bernasib baik namun akhirnya mampu beraksi di pentas final Piala Malaysia.

“Dalam umur 42 tahun ini tak sangka dapat ke final walaupun kurang minit perlawanan namun jurulatih tetap beri kepercayaan kepada saya.

“Di usia sekarang adalah pencapaian terbaik dan sudah berkecimpung dalam bola sepak tempatan hamper 24 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pra-perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 di Stadium Nasional Bukit Jalil yang disiarakn secara maya di Facebook, hari ini.

Shukor dan KLFC bakal menghadapi ujian getir pada final yang diadakan esok kerana pasukan yang ditentang mereka adalah pasukan terbaik Liga Malaysia iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here