KERAJAAN sedang berbincang mengenai pelbagai Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) bersama negara jiran serantau, selaras dengan apa yang dilaksanakan antara Malaysia dan Singapura yang bermula secara rasmi hari ini.
Menteri Kesihatan Khairy berkata, ia bagaimanapun akan dilakukan secara tersusun dengan mempertimbangkan kemunculan varian baharu Omicron.
Beliau berkata, VTL yang dilaksanakan antara Malaysia dan Singapura melalui laluan udara dan darat antara Malaysia, hari ini adalah langkah pertama dalam pembukaan selamat sempadan atau ‘Reconnecting Safely’ antara negara jiran
“Ujian calitan sebelum berlepas dan semasa ketibaan kekal dilaksanakan dan VTL hanya untuk pengembara yang telah menerima vaksin lengkap,” katanya menerusi ciapan di Twitter, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual akan merasmikan pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura melalui pelaksanaan VTL, hari ini.
Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad, berkata majlis perasmian pembukaan sempadan itu dijalankan pada jam 10.45 pagi.
Menurutnya, pembukaan semula sempadan berkenaan sangat penting buat sektor ekonomi negara khususnya Johor yang merupakan negeri berjiran.
Perdana Menteri turut akan mengadakan lawatan rasmi pertama beliau ke Singapura hari ini bagi memenuhi jemputan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong. – Malaysiapost

