40 disyaki ahli kongsi gelap ditahan di restoran mewah

0
2

KUMPULAN lelaki dipercayai ahli kongsi gelap diserbu polis ketika mengadakan majlis pengenalan dan pendaftaran ahli baru di sebuah restoran mewah di Seberang Perai, Pulau Pinang, kelmarin

Serbuan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah pada jam 9.30 malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais, berkata kumpulan terbabit disyaki cuba mengaburi pihak berkuasa dengan berselindung disebalik sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menghidupkan kembali pengaruh mereka di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

“Hasil serbuan membawa kepada penahanan seramai 40 lelaki yang berusia lingkungan 22 hingga 56 tahun dan berasal dari Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Serbuan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai.
kredit foto : PDRM Pulau Pinang

“Lapan daripada lelaki mempunyai “tatoo” bagi sebuah pertubuhan haram dan pihak polis juga turut merampas 56 buah telefon bimbit, dua cincin, rantai serta subang yang mempunyai lambang sebuah pertubuhan haram,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke IPD Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang untuk tindakan lanjut dan Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 ( Kesalahan menganggotai pertubuhan yang menyalahi Undang-Undang).

Menurutnya, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan penjara tidak lebih daripada tiga tahun atau denda tidak lebih daripada RM5,000 atau kedua-duanya.

“Kesemua yang ditangkap kini ditahan reman untuk siasatan.

“Polis mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat dan bekerjasama baik dalam bersama-sama membanteras jenayah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here