Desak tubuh petugas khas siasat harga barang naik

0
2

ANGKATAN Bersatu Anak Muda (Armada) Johor menggesa kerajaan menubuhkan segera petugas khas untuk mengenal pasti punca kenaikan harga makanan yang disifatkan melampau pada masa ini.

Ketuanya Muhd Shamsuddin Paijan berkata peningkatan harga barangan makanan dan produk lain itu seolah-olah menunjukkan tiada penguatkuasaan dan pemantauan kerajaan dalam menangani isu tersebut.

“Umum mengetahui bukan sahaja barangan naik, tetapi harga sayuran dan minyak masak juga dilihat mengalami peningkatan yang tidak masuk akal.

“Adakah peningkatan ini dipengaruhi kemenangan Barisan Nasional (BN) di PRN Melaka? Apakah BN membawa maksud ‘Barang Naik’? Kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri, Perdana Menteri Malaysia perlu segera mengambil tindakan menyelesaikan isu ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Muhd Shamsuddin berkata kerajaan perlu meneliti semula struktur dan kelemahan agensi pertanian dengan meluaskan peranan sebagai penyimpan stok serta pengedaran bagi menstabilkan bekalan dan harga

“Syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di pusat dan negeri perlu ditubuh bagi menceburi bidang penghasilan input pertanian, pengeluaran makanan pengguna dan makanan ternakan yang strategik bagi menstabilkan bekalan dan mengelakkan tekanan harga di pasaran,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan rasa kesal dengan isu kekurangan bekalan benih dan lambakan hasil pertanian yang merugikan petani atau peladang.

Tambahnya, masalah kenaikan harga input pertanian juga masih berlarutan berlarutan sehingga menjadi alasan atau menyumbang kepada peningkatan kos operasi pertanian dan seterusnya harga makanan di pasaran.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid memaklumkan kementerian tersebut melancarkan Ops Pasar (Sayur 2) di seluruh negara mulai semalam.

Katanya, Ops Pasar itu diadakan berikutan laporan kenaikan harga barangan di peringkat runcit yang didakwa mencapai tahap sehingga 200 peratus di pasaran. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here