KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melancarkan Ops Pasar (Sayur 2) di seluruh negara mulai semalam.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, berkata Ops Pasar itu diadakan berikutan laporan kenaikan harga barangan di peringkat runcit yang didakwa mencapai tahap sehingga 200 peratus di pasaran.
Rosol berkata, sejumlah 43 premis dan 131 barangan diperiksa di peringkat peruncit dan pembekal di bawah Ops ini pada hari pertama pelaksanaannya.
Katanya, antara barangan yang diperiksa termasuk sawi, kubis bulat, kacang buncis, brokoli, cili merah, cili hijau dan bunga kubis.

“Pemeriksaan meliputi semua peringkat rangkaian pengedaran iaitu pembekal, pemborong dan peruncit di seluruh negara.
“Sehingga semalam, sebanyak 43 notis pengesahan maklumat bertulis dan 40 notis bertulis kepada peniaga bagi mendapatkan pengesahan sama ada wujud unsur pencatutan atau ambil untung berlebihan atas harga jualan sayuran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program kempen keselamatan pengguna kerjasama Petronas dan KPDNHEP di Kuala Berang, hari ini.
Dalam pada itu, Rosol berkata, pihaknya tidak pernah memandang ringan keluhan pengguna dan peniaga terhadap kenaikan harga barang di pasaran.
Dalam pada itu, Rosol berkata, bagi notis pengesahan maklumat bertulis, peniaga diberi masa dua hari untuk menjawab manakala untuk notis bertulis, tempoh lima hari diperuntukkan untuk mendapatkan maklum balas.
Katanya, seramai 1,000 pegawai pemantau harga (PPH) ditugaskan untuk membuat pemantauan di 1,500 lokasi setiap hari bagi meninjau serta merekodkan perubahan harga sayur-sayuran di pasaran. – Malaysiapost

