Elaun Sara Hidup Nelayan: Kenapa Muhyiddin tak bantah dulu?

0
2

BEKAS Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub menyifatkan pengumuman kenaikan Elaun Sara Hidup Nelayan bermotifkan politik bagi menarik sokongan.

Timbalan Presiden Amanah itu berkata pengumuman itu dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berlangsung.

Muhyiddin mengumumkan Elaun Sara Hidup Nelayan dari RM250 kepada RM300 sebulan.

“Kenaikan elaun itu ternyata bukan satu kebetulan kerana ia dibuat di Kota Kinabalu, Sabah pada hari kempen PRN Sabah.

“Seperti yang kita sedia maklum, rakyat negeri Sabah akan keluar mengundi pada 26 September ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu Muhyiddin berkata, kerajaan bersetuju menaikkan Elaun Sara Hidup Nelayan dari RM250 kepada RM300 sebulan.

“Saya ingin ingatkan, sewaktu Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara, Warisan adalah sebahagian daripada PH. Di waktu itu, elaun sara hidup nelayan dipotong dari RM300 kepada RM250.

“Hari ini saya ingin umumkan, kita kembalikannya semula,” katanya ketika berucap melancarkan Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit Huma, di Dataran Bagandang, di Beaufort.

Sementara itu, Salahuddin menempelak Perdana Menteri bahawa beliau juga adalah sebahagian daripada kerajaan PH sebelum ini.

Jelasnya, adalah tidak berasas apabila Muhyiddin menyalahkan Warisan yang bersama PH ketika Elaun Sara Hidup Nelayan telah dipotong.

“Tan Sri Muhyiddin lupa bahawa beliau merupakan sebahagian daripada PH dahulu. Beliau merupakan anggota jemaah menteri.

“Seingat kami beliau tidak pernah membantah pemotongan Elaun Sara Hidup Nelayan yang dilakukan ketika itu,” katanya lagi.

Tambah Salahuddin PH telah berjanji untuk meningkatkan kembali elaun berkenaan sekiranya situasi ekonomi mengizinkan.- Malaysiapost