Luluh lihat isteri digilis lori

0
1

LULUH hati seorang lelaki melihat tubuh isteri terbaring kaku di tengah jalan selepas digilis lori dalam kemalangan di Kulim, Kedah, hari ini.

Dalam tragedi jam 1 tengah hari itu, suami mangsa yang dipercayai secara kebetulan melalui lokasi kejadian, terus meluru ke arah jasad isterinya lalu memeluk sambil menangis.

Difahamkan, pasangan berkenaan adalah orang kurang upaya (OKU) bisu yang mempunyai cahaya mata berusia tujuh bulan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim, berkata kejadian berlaku apabila mangsa Nur Almass Zasmi, 23, menunggang motosikal Modenas Kriss dari arah Serdang ke Sungai Ular, manakala lori dari arah bertentangan.

“Motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan terjatuh di atas jalan sebelum sebuah lori menggilis mangsa dengan tayar belakang.

“Mangsa yang cedera parah di kepala maut di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-Malaysiapost