Polis siasat perarakan kematian diiringi helikopter, kuda

0
2

POLIS sedang menyiasat satu perarakan yang diiringi khidmat helikopter dan kuda di sekitar bandaraya Ipoh.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata ia dipercayai perarakan kematian seorang pemilik kedai pakaian tradisional India tertua di Ipoh, semalam.

Beliau berkata, satu laporan polis telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti sekiranya wujud sebarang kesalahan dan sama ada mereka mempunyai permit mengadakan perarakan.

Menurutnya, tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan laporan diterima berhubung kejadian yang turut tular di laman media sosial memaparkan rakaman video sebuah helikopter terbang rendah dan menaburkan bunga mengiringi perarakan itu.

“Kalau ikutkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), memang perarakan tidak dibenarkan khasnya perarakan membabitkan kematian… yang pasti memang ada pelanggaran SOP.

“Keduanya, adakah mereka mendapat kebenaran daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk terbang rendah kerana kita tengok daripada video tular itu, ia (helikopter) terbang terlampau rendah. Jadi kita akan siasat dari pelbagai sudut untuk lihat ada atau tidak sebarang kesalahan yang wujud,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 30 saat yang memaparkan upacara perarakan kereta yang diiringi beberapa individu menunggang kuda selain kehadiran helikopter yang terbang rendah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here