Syarikat penerbangan diarah segera turunkan harga tambang

0
4
https://www.instagram.com/abdulhafiz380/

KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) mengarahkan syarikat penerbangan tempatan segera menurunkan harga tiket penerbangan domestik yang didapati terlalu tinggi sejak aktiviti rentas negeri dibenarkan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai rungutan orang ramai berhubung harga tiket kapal terbang yang dikatakan terlalu tinggi ketika ini.

Beliau berkata, kementeriannya telah menemui pihak Malaysia Airlines, Malindo dan AirAsia semalam untuk membincangkan keperluan menurunkan harga tiket penerbangan.

“Sejurus pertemuan itu, Malaysia Airlines berjanji untuk menambah penerbangan tambahan ke Sarawak pada Disember, sekaligus berupaya mengurangkan kadar tambang ke negeri tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ka Siong berkata, kedua-dua Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) juga bersedia meluluskan lebih banyak kekerapan penerbangan.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak dan Kementerian Pengangkutan Sarawak telah memutuskan untuk meningkatkan kekerapan penerbangan daripada 223 kepada 307 penerbangan seminggu ke Sarawak.

“Kelulusan itu diberikan kepada Malaysia Airlines, Firefly, AirAsia, Malindo, dan Scoot (Singapura), bermula 4 Disember ini hingga hingga 5 Januari 2022,” katanya.

Beliau berharap, kerajaan negeri juga akan segera mengembalikan jumlah kekerapan tersebut kepada 502, sama seperti sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.

Menurutnya, kerajaan memandang serius berhubungan harga tiket penerbangan yang memberi kesan kepada orang ramai iaitu daripada pengembara hingga ahli keluarga untuk bertemu semula setelah sekian lama berpisah akibat pandemik.

“Kerajaan mengingatkan kepada semua pemain industri supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga tambang bagi menampung kerugian yang dialami sebelum ini.

“Ini persepsi orang ramai yang perlu ditangani syarikat penerbangan,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Instagram/@abdulhafiz380

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here