Kos haji bakal meningkat lebih 50 peratus

0
2
Bangunan Tabung Haji

KOS haji dijangka meningkat kepada lebih RM30,000 berbanding RM23,000 sebelum ini susulan peningkatan Cukai Nilai Tambah (VAT) yang diperkenalkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kos VAT meningkat kepada 15 peratus berbanding lima peratus sebelum ini.

Menurutnya, keadaan itu dijangka akan menyebabkan peningkatan kos haji sebanyak kepada lebih 50 peratus.

“Peningkatan kos sebahagian besarnya berkait rapat dengan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang perlu dipatuhi termasuk penjarakan fizikal seperti had kapasiti bilik hotel dan bas.

“Jumlah tepat kos haji akan datang itu bagaimanapun akan diputuskan dalam kabinet dan diketahui awal tahun hadapan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.

Menurutnya, Tabung Haji akan menanggung sebahagian daripada kos terbabit, namun jumlahnya masih belum diputuskan.

“Sebelum ini, kos keseluruhan untuk mengerjakan ibadat haji adalah RM23,000, namun jemaah hanya dikenakan bayaran RM9,980 dan kos itu tidak pernah dinaikkan sejak 2001.

“Apabila jumlah tepat sudah diputuskan, kita akan maklumkan kepada bakal jemaah haji dan pada masa sama, kita juga berusaha untuk menyedarkan supaya mana-mana yang berkemampuan membayar penuh kos berkenaan,” katanya.

Pada perkembangan sama, Ahmad Marzuk berkata, kuota jemaah haji juga akan diketahui awal tahun hadapan.

“Segala keputusan tertakluk kepada kerajaan Arab Saudi sama ada akan mengekalkan kuota 30,000 jemaah atau dikurangkan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here